Showing posts with label Blogger Jalan Simon. Show all posts
Showing posts with label Blogger Jalan Simon. Show all posts

Saturday, 1 December 2012

Di mana benda liar berada



Sudah dua minggu lebih, dan walaupun sukar untuk dinyatakan, tapi saya rasa saya sudah merindui okelend. Okelend dalam ketidaksempurnaannya sebagai rumah pendidikan tertiari, rupanya ada tarikan pelik untuk dirindui. Dengan cuaca yang tidak menentu sejuk, manusia yang terlebih peramah dan waktu pagi yang panjang (aka waktu tidur selepas subuh yang lebih syok). Rindu?

Tapi ada teori lain. Mungkinkah saya menghidap penyakit kalcersyok apabila sampai sahaja di rumah? Masih memasukkan tangan ke dalam poket biarpun tidak sejuk, menyimpan lauk semalam untuk dimakan pada keesokan harinya kerana tidak mahu membazir, menunggu di hadapan laman sesawang asb untuk kemasukan duit biasiswa, memeriksa trademe dan membida untuk barangan yang kini dipisahkan tidak kurang tiga laut dunia…

Tapi saya tidaklah berani untuk masuk dapur untuk memasak, kerana itu sahabat, telah melampaui batas percutian pelajar macam kita. Kalcersyok itu lebih-lebih terasa apabila saya pergi ke masjid berdekatan untuk solat berjemaah, dan ketika kaki cuba mencapai makmum sebelah untuk merapatkan saf….

Oooops I have overstepped on certain boundary this time…

*****

“And the wild things roared their terrible roars and gnashed their terrible teeth and rolled their terrible eyes and showed their terrible claws.”

Tiada paradoks yang lebih mengecewakan apabila menemui kuot di atas dikesampingkan dengan haiwan-haiwan berbulu yang mempunyai ukuran kepala ke badan dalam nisbah 1/3. Kepala yang besar yang sering diasosiasikan dengan perkataan comel dan anime dan neko dan kawaii dan segala macam lagi jargon yang sewaktu dengannya.

Sungguh aneh apabila difikirkan; keganasan, keraksasaan, darah dan ketakutan yang mencengkam dapat di’downgrade’kan kepada bentuk kartun dan plush toy yang boleh dipeluk-peluk riang tanpa ada rasa bersalah. Kanak-kanak yang awalnya berlari-lari ke belakang almari, rak dapur, sofa, selimut kini tidak berasa takut lagi, malah dengan terbukanya membuat idealisme baru tentang benda yang sepatutnya ditakuti: ia boleh dicucuk-cucuk dan tiada bahaya yang dapat berlaku, bahkan ia seronok pula.

Bahkan ia seronok!

Saya teringat tentang falsafah cuti seseorang, bersangkut-paut pula dengan ayat zuyyina linnasi hubbus syahawat di dalam al-quran yang saya turut ambil, namun dalam konteks jahiliyyah yang lebih luas. 

Jahiliah itu seronok! Ia tidak hadir lagi dalam pakej topeng berdarah, pisau, dan terang-terang kemaksiatan seperti punk dan LGBT. Ia termodel, kini, dengan siaran astro terkini, game-game downloadable, bantal-bantal yang empuk, dan gajet-gajet skrin sentuh yang terbaru. Tambah-tambah pula, suasana cuti menjadi seakan-akan bancuhan sempurna untuk jahiliah yang pekat menerobos ke setiap anggota yang terbuka untuk menikmatinya.

Lemas dalam lautan udara.

Cuti ialah, dalam bahasa saya sendiri, ‘mengguntingkan pintalan-pintalan kerja rumah, rasa tanggungjawab, dan kawan-kawan sopan-jalan-tunduk-muka yang bersimpulan pada hari-hari bukan cuti’. Ia meloloskan jiwa remaja kepada apa yang kononnya ia mahukan, hiburan sementara dan kebebasan. Hiburan sementara yang disisipkan pada makna kata ‘oh, rileks sekejap takleh’. Kebebasan dalam erti kata pilihan yang tidak lagi perlu dituruti implikasi-implikasi dalam pembelajarannya.

Tidak perlulah saya memberi hujah agama seperti ‘Allah sentiasa melihat kamu’ dan sebagainya kerana kita semua tahu betapa janggal dan terseksanya mendengar pengisian sebegini di dalam usrah dan daurah. Tetapi kita semua perlu tahu hakikat cuti yang lain, hakikat yang datang kepada seseorang secara lembut dan subtle seperti perubahan paras lantai yang tiada bonggolnya. Yakni cuti itu fasa yang menakutkan, ia ialah the devil that you don’t know dan menambah kepada peribahasa tersebut, kita tidak mengetahui ia devil in the first place. Sungguh menakutkan sehinggakan apabila penghujung cuti tiba barulah kita mempunyai saat-saat terluang untuk merefleksi betapa teruknya cuti yang dilalui.

Maka, hadapilah cuti kali ini dengan senjata dan kekerasan, tidak lagi berenang sahaja dan go with the flow. Hadapilah ia dengan pertanyaan lantang di setiap kesempatan ‘Adakah benda ini bermanfaat untuk saya?’, ataupun pukullah kepala sendiri jika terjebak dengan jahiliah seperti apa yang kita akan buat bila kekurangan kafein semasa study week. 

Tidak ada lagi istilah cuti yang dilalui tanpa ada unsur refleksi sedikitpun! Tidak ada lagi watak-watak comel yang melemaskan kerana berjaya datang menghampiri kita. Semuanya makhluk bertanduk tiga, badan berbulu dan mempunyai kaviti mulut yang hitam berdarah yang berusaha mendatangi kita sambil menjerit ‘Lembu! Lembu!’


Blogger Jalan Simon

kecewa dengan layanan saf pakcik-pakcik tua....

Monday, 27 August 2012

Anugerah

Anugerah

Cahaya gilang-gemilang!

Hari anugerah itu telah tiba, dan beberapa detik lagi penantian yang lama terhadap sebuah eknolejmen daripada masyarakat dunia membuatkan hadirin bingkas mengambil tempat duduk. Peserta atau sebetulnya calon-calon anugerah saling bertukar pandangan: sama ada harapan atau iri.

Pembaca anugerah menghampiri podium dengan sebuah trofi, bilasan-bilasan cahaya yang direfleksikan permukaan kristal ialah seperti kilauan jingga pada horizon sebuah petang di pantai Hawaii.



Lampu sorot yang berkeliaran pada lelangit sebuah auditorium mega besarnya, kini melintas tepat di atas kepala anda. Dan anda serasa dilahirkan semula. Debar di dalam dada tidak dapat ditahan lagi, kini masa anda untuk menyinar dengan lebih bertenaga, jauh lebih bersinar daripada lampu sorot tersebut.

Pembaca anugerah mengetuk mikrofon secara halus.

Hadirin menghela nafas.

Sunyi beberapa jeda.

Suspens.


*****

Anugerah ialah nikmat. Sebetulnya, anugerah ialah subset kepada nikmat, kerana biarpun pencirian kedua-dua perkara ini lebih kurang sama, anugerah pada mata seorang hamba ialah lebih daripada sekadar lemang dan rendang, wajik dan dodol yang tersadai tidak bermaya di atas meja hidangan rumah kelima yang anda hadiri untuk hari raya kedua itu.

Untuk sesuatu nikmat dikualifikasikan sebagai anugerah, ia perlu hadir di atas dulang emas bertatah berlian, dimumkan oleh seorang pengerusi dengan iringan drum yang dub-dab-dub-dab itu, atau setidak-tidaknya dicatat pada muka hadapan sebuah akhbar tabloid pada keesokan harinya.

Anugerah juga ialah penghormatan berdiri audiens setelah siap persembahan, dan sesudah itu ia hadir dalam laungan ‘We want encore!’ yang diulang-ulang memecah kesunyian malam. Bingung anda memikirkannya, dalam kehabisan tenaga dan lelehan air mata rasa dihargai, anda tetap bangun dan kembali mempersembahkan diri anda di pentas dunia.

Eknolejmen.

Itulah pelengkap sebuah persamaan linear. Di mana sesuatu nikmat itu mendapat eknolejmen, di situlah ia bertukar menjadi anugerah.


*****

Pengerusi tersenyum, dan senyumannya itu membanjir ke seluruh audiens. Ada beberapa soksek-soksek yang berjaya ditangkap telinga anda. Khabarnya, anda akan memenangi anugerah tersebut!

Sekali lagi khali.

“Pemenangnya ialah ‘Bukan-Anda’! Tepukan gemuruh!!!”

Anda mengurut dada sendiri, tidak mempercayai. Begitulah suara tersebut hampir-hampir sahaja mencarik-carik pembuluh jantung anda.


*****

Suatu hakikat yang sukar ditelan seorang muslim lewat melalui hari-hari syawalnya ialah pernyataan klise “Ramadan sudah meninggalkan kita”. Klise kerana sifatnya yang selalu diulang-ulang semasa khutbah raya.

Sukar ditelan kerana Ramadan ialah suatu kerehatan untuk hamba Tuhan yang Maha Pemurah, lantas ‘ditarik balik’ dengan kehadiran hari raya. Ramadan dibekalkan dengan pernyataan kasih dan ibarat minuman tenaga yang mengarah kepada produktiviti luar biasa. Ramadan ialah ‘pentas’ seorang hamba. Tempat untuk ia menguji kefasihan imannya. Hanya dengan kefasihan iman mengeja keyukuran terhadap Tuhannya sahaja, seseorang hamba itu dapat membuahkan persembahan yang benar-benar memukau.

Dan apabila hamba itu kembali menuruni pentas tersebut, hatinya masih dihinggapi getaran perasaan yang kuat, kemudian lama-kelamaan menjadi melankolik. Persembahannya diterima baik dan disuguhkan sebuah encore.

Hamba itu mendapat eknolejmen.

Ada sebuah parallelisme antara konsep eknolejmen dengan kefahaman kita terhadap Ramadan dan syawal. Sehabisnya sebuah persembahan (atau sebenarnya penyembahan) terhadap Allah Rabbul Alamin di kala Ramadan, kita menangisinya bersungguh-sungguh. Mirip seorang artisan yang menangisi kejayaannya memukau para hadirin. Setelah itu, kita menerima puluhan anugerah dan hadiah atas kesaksian sebuah persembahan yang menyentap kalbu lewat sebuah syawal.

Tetapi di situlah berakhirnya parallelisme tersebut. Lihat ayat 185, surah sapi:

“…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (2: 185).

Kerana eknolejmen seorang muslim hadir jauh setelah berakhirnya sebuah Ramadan dan syawal. Ia bukan sekadar menerima dengan tangan terbuka dan senyuman kambing yang disengajakan dia hadapan kamera video.

Eknolejmen seorang muslim daripada Tuhannya menjadikannya seperti cermin, memantulkan kembali kesyukurannya kepada yang Esa. Malah boleh jadi ia bertukar kepada ketulan Kristal yang apabila cahaya eknolejmen itu melimpahinya, ia lantas menyerakkan cahaya tersebut untuk dinikmati masyarakat umum.

Muslim itu mengetahui di sudut hatinya, nikmat yang datang kepadanya semuanya ialah anugerah dengan eknolejmen penuh Tuhannya yang sedia tercatat di Lauh Mahfuz. Baik kuih tat nanas, almond London, ataupun ayam masak merah. Itulah anugerah.

Baik secangkir senyuman pak-pak Arab yang datang merangkul kita sambil mengucapkan ‘Eid Mubarak!’. Ataupun kesedihan perpisahan jasad dengan keluarga tercinta di sebuah negeri yang jauh ditukar dengan kegembiraan bersakan dengan rakan-rakan di luar negara. Semua itu ialah anugerah.

Kerana itulah ia bertakbir dengan penuh semangat. Kerana itulah ia tidak merasa terbeban untuk memasakkan kambing panggang untuk santapan tetamunya (yum-yum-yum). Kerana itulah syukurnya semakin meninggi dan menebal. Ia merasa seperti individu lain, individu yang dilimpahi cahaya.


“Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir." (Imam Tabrani r.a.)


Kerana itulah semakin ia melalui hari-hari syawalnya, semakin ia percaya kelakuannya yang sudah sedikit berubah untuk kebaikan ialah hasil doa termakbul. Termakbul kerana diaminkan ketika langit telah pecah berkeping-keping dengan pahala yang melemaskannya dalam khusyuk sebuah tahajud.

Dia percaya, eknolejmen terbesarnya pada tahun itu dari Tuhannya ialah malam yang pekat pahala itu.

Lailatul Qadar.

*****

Tidak percaya.

Seluruh auditorium terpecah menjadi dua bahagian. Satu sudut (juga majoriti daripada audiens) bersorak terhadap pemenang anugerah bernama Bukan-Anda itu. Mereka bertepuk tangan macam nak rak, langsung memberi penghormatan berdiri. Satu bahagian lagi menjadi was-was, tidak percaya, tetapi demi menghormati majlis turut bangkit dan melakukan aplaus.

Tetapi anda, ya anda, keseorangan menahan sedih dan kecewa. Umum mengetahui ini ialah kali terakhir anda akan berpeluang untuk menerima anugerah tersebut. Tiada lagi masa hadapan untuk kembali menyarung pakaian gilang-gemilang itu dan kembali membuat persembahan memukau.

Inilah kematian anda. Tidak, inilah kehinaan anda.

Dalam kesedihan yang tidak terempang lagi itulah, hadir sebuah watak yang tidak dikenali. Ia mendekati podium sebelum sempat Bukan-Anda membuat ucapan penghargaan, ia merampas mikrofon langsung berkata-kata:

“Saya tetap percaya Anda ialah pemenang sebenar anugerah ini” ia memulakan.

Anda mengangkat muka untuk melihat orang tersebut, namun sebliknya pada tayangan slaid terpampang perkara yang membuatkan anda lebih bersyukur. Bersyukur kerana sempat berdoa pada malam dengan langit pahala terpecah-pecah. Air mata mengalir dengan derasnya.

“Dari Abdullah bin Amru r.a., bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Puasa dan Al-Quran itu memintakan syafaat bagi seseorang hamba di hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah mencegah dia memakan makanan dan menyalurkan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya.”

Dan berkata pula al-Quran: “Wahai Rabbku aku telah mencegah dia tidur di malam hari (kerana membacaku), maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Maka keduanya diberi hak untuk memintakan syafaat”. (HR Ahmad)

Inilah anugerah!


(p/s: maaf kerana menggunakan imejan-imejan yang agak pelik. Konten didahului, teknik dicapati. Selamat Hari Raya)

Blogger Jalan Simon
Blogger yang rayanya berjalan-jalan. Muslimnya sepanjang jalan

Sunday, 12 August 2012

Bashar, ini setalam briyani


Raja yang menguasai perutnya, ialah
raja nafsu yang sama
merobek ketulan ayam pada nasi berminyak.
Dan jarinya
menekuni wilayah-wilayah yang belum
diterokai
talam ini tidak akan dikongsi
sesiapa.


Ini bulannya, Bashar!
Iftarlah dengan lauk kemanusian yang hancur
pada bedilan mortar,
cis, ratahlah
sesuka hatimu.


Maka kamu perlu kenal
pada perut yang hanya diisi cebisan kurma
di celahan runtuhan Aleppo
dan Homs
ia jisim untuk bertahajud
dengan harap cemas
pada Tuhan yang selayak-layaknya.


Ini malamnya!
Malam qadar.
Malam yang sesak dengan para syuhada'
berdoa kematiannya
lantas diaminkan jutaan
malaikat.
Dan qunut kami
akan tiba sebagai pedang
lantas menghunusmu.


Kamu akan tewas juga akhirnya.


Blogger Jalan Simon
Blogger pada tanda jalan,
muslim sepanjang jalan

Sunday, 5 August 2012

Arakian, pada zaman dinasour dahulu kala......

Semua theropoda, sauropodomorfa, dan ornithischia perlu berasa bimbang. Sejarah hidup keluarga dinosaurian kini akan diracik-racik sehingga ke tulang dan fossil. Budaya, habitat, pemakanan, tingkat intelektual, cara pakai baju, cara gosok gigi, cara basuh berak, dan segala-galanya mengenai kehidupan mereka akan dikaji secara ekstensif oleh muslim generasi y yang selalu mempersoalkan banyak perkara.



Dan semuanya bermula daripada firman Allah taala dalam Surah Sapi ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (2;183)

Benar, membandingkan dinasour dengan ‘orang sebelum kamu’ ialah perbandingan yang tidak adil kerana, well, dah namapun bukan manusia. Dan kedua, walaupun haiwan berkuku dan bergigi tajam ini wujud sebagai satu metamorfosis islam ijbariyah, agak sukar untuk menanggapi ‘bukan manusia’ sebagai pemegang amanah Allah di muka bumi, lantas berkemampuan untuk berpuasa seperti yang diberitahu ayat di atas.


*****

Agak menakjubkan. Terkenang dahulu kala, ketika zaman kanak-kanak yang masih hingusan dan mudah panik dengan linear algebra, para asatizah menyebutkan bahawasanya puasa itu dilaksanakan - salah satu daripada matlamatnya - ialah untuk merasai kedaifan dan kepapaan al-masakin dan fakir yang bertebaran di muka bumi. Menjadi lapar ialah solidariti untuk golongan yang tidak mampu untuk membawa apa-apapun, baik beberapa ketul kurma (apatah lagi ayam CFC!) ke atas meja untuk dijamukan kepada ahli keluarga.

Demikianlah bermulanya ibadah puasa kita dahulu, dengan pemahaman bahasanya berlaparan dan berdahaga sepanjang hari ialah perjuangan perut untuk mendekati golongan yang terkebelakang dari pungutan harta. Ermmmm….

Tidaklah saya ingin menafikan perkara ini. Tapi….

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (2;183)

Kalaulah benarlah puasa itu sekadar untuk memahami perasaan dan perjuangan golongan miskin, sudah pasti ayat di atas akan berbunyi lain, mungkin ada emfasis terhadap golongan miskin dan fakir, berbanding sekadar ‘orang sebelum kamu’. Benar sejarah telah membuktikan kebanyakan mereka yang berserah diri kepada Allah dahulu dengan wasilah berpuasa ialah manusia sama yang tidak mampu untuk mengisi perut sendiri untuk beberapa hari dan bulan.

Lihat sahaja kelibat Nabi Muhammad s.a.w, susuk tubuh yang kita agungi itu. Ketika peserta perang Khandak dalam barisan muslimin lain mengikat satu batu di perut mereka untuk menggali parit, tanpa disedari Rasulullah s.a.w sendiri telah mengikat dua batu, hanya kerana berlaparan!!!

Tetapi renungan yang saya khususkan di sini ialah betapa puasa merupakan satu ibadah yang bertahan the test of time, tidak eksklusif kepada umat Muhammad s.a.w sahaja bahkan ianya telah dilaksanakan sejak zaman Nabi Musa a.s lagi oleh masyarakat Yahudi. Apatah lagi sekarang ini, kita melihat hampir semua agama terbesar dunia juga pada satu masa atau lainnya menggalakkan/mewajibkan umatnya untuk berpuasa.

Ibadah berpuasa telah bertahan sepanjang zaman-zaman ini - biarpun mengalami pelbagai perubahan syariat dalam pelaksanaannya - kerana ia masih bertahan dalam aspek tujuan dan misi yang ingin dicapai. Yalah, hanya ada beberapa tujuan untuk seseorang menahan diri daripada menikmati makanan kegemaran ketika cuaca panas dan perut sudah mengaum; kalau tidak kerana menghidap bulimia ataupun kerana elaun belum masuk, sudah pasti berpuasa seseorang itu adalah untuk memenuhi tuntutan kuasa autoriti Tuhan dalam agamanya.

Dan Islam tidak jauh bezanya, masakan lebih hebat.


*****

Hasil daripada renungan terhadap ayat tersebut, berpuasa membolehkan kita untuk time travel, membelah ruang maya dengan minda penuh-sedar untuk tiba di bumi yang ter’kebelakang’ itu. Kita langsung tercengang, menggaru-garu kepala yang tidak gatal (nak gatal macam mana kalau pencemaran udara tidak lagi rancak ketika itu) menanya diri sendiri; bagaimanakah observasi terhadap puasa dapat dilaksanakan di bumi yang terlalu asing?

Tiada peneduh untuk menghalang pancaran matahari yang meninggalkan pijar-pijar merah di kulit. Tiada kenderaan bermotor untuk mengangkut kita ke sesuatu tempat dengan efektifnya. Tiada majlis iftar dengan setalam nasi bryani bersama enam ketul ayam dan tiada juga petugas untuk menjerit “More rice brother!”. Malah kurma di dalam tangan untuk bersahur pada paginya perlu dikerat kecil-kecil untuk bertahan selama 30 hari itu. Tiada bekalan air bersih, tiada sejadah khusus untuk tahajud, tanah pasir yang poros pula menjadi terlalu sejuk pada malamnya untuk bertarawikh.

Demikianlah Allah mengajar kita menerusi ayat 2;183 tersebut untuk kembali kepada state-of-mind yang tradisionalis dan konvensional (dan saya tidak maksudkan jumud) dalam melalui ibadah puasa. Kerana puasa telah dilaksanakan umat terdahulu, dalam segala ketidakcukupan mereka, begitulah kita di zaman ini perlu mengambil pendekatan anti-moden, anti-materialisme dalam menghadapinya jua. Pentingnya untuk kita, bukan sekadar berlapar dan dahaga, malah untuk meletakkan belenggu-belenggu daripada bersifat neo yang menyebabkan kita terkejar-kejar kehidupan dunia dengan lambakan nafsunya.

Perjalanan merentas masa ini melatih kita untuk menahan diri daripada tenggelam sama dalam arus kehidupan yang pantas dan melemaskan. Begitulah puasa, apabila Tuhan berasa sedekat ini, tiada lagi keinginan-keinginan rendah yang bersifat sementara:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat…” (2;186)

Kerana latihan-latihan ini, seperti yang dilalui orang-orang terdahulu, merupakan latihan takwa. Dan takwa tidak datang mudah. Sudah beberapa banyak manusia yang berpuasa sepanjang rentas masa hidup beragama ini yang tewas; hanya kerana memasuki lubuk emas, namun keluar bangga dengan mengendong besi-besi berkarat?


*****

Saya tidak menyalahkan modenisasi. Dan memang agak janggal untuk sekadar memakai cawat di tengah-tengah masyarakat urban (tidak termasuk anda akan berasa kesejukan dan tidak menutup aurat!).

Yang sepatutnya merentas masa dan menguji tahap takwanya ialah hati dan akal seseorang manusia itu. Kedua-dua kekuatan inilah yang perlu digunakan untuk melibas pedang dan mengacah tombak kepada tyrannosaurus rex yang datang berkucuran air liur bersedia membaham anda.

Dan kali ini anda perlu benar-benar berharap kata-kata “Inni Soim” (sesungguhnya aku berpuasa) dapat menghindarkan bahaya yang meluru ke arah anda itu.

Kerana sesungguhnya ia tidak pula berpuasa.

Blogger Jalan Simon
Blogger yang berjalan-jalan, tetapi muslim sepanjang jalan

Friday, 27 July 2012

Sinusoidal


Iman yang turun-naik ialah iman yang benar dan sahih. Tidak mungkin ia akan kekal naik, malah mustahil juga untuk ia kekal menurun.

Memanglah saya bercakap tentang iman seorang manusia yang sempurna akil balighnya dalam hal ini.

Tidaklah saya ingin bercakap tentang iman ayam goreng celup tepung cornflakes bersama nasi goreng lada hitam dihidangkan bersama taro milk tea dengan pearl yang masuk ke dalam tekak secara berdegak-degak itu, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa.

Arakian.

Pasang surut iman sering digambarkan dengan kisah Hanzalah radiallahuanhu. Hanzalah yang bimbang terhadap dirinya yang 'nampak' munafik berlari-lari mengkhabarkan derita jiwanya kepada Abu Bakar radiallahuanhu. Munafik Hanzalah hanyalah kerana beliau merasa ketinggian iman semasa bersama Nabi Muhammad s.a.w sebaliknya berasa rendah dan terumbang-ambing imannya semasa bekerja dan bersama keluarga.

Rungutan dan pendedahan itu mengocakkan pula kolam hati Abu Bakar, dijumpainya kebenaran persis yang dirasainya sekian lama. Lalu diceritakan kebimbangan tersebut kepada Nabi Muhammad s.a.w, langsung dibalasnya:

“Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika kamu sentiasa berada di tahap yang sama seperti ketika mana kamu bersama denganku dan semasa mengingati Allah, nescaya Malaikat akan berjabat tangan denganmu ketika kamu berhenti rehat atau berjalan! Akan tetapi, wahai Hanzalah, ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu (Baginda mengulang menyebutnya tiga kali)” [Hadith riwayat Muslim].



*****


Persoalan: Kamu yakin kamu beriman?

Tunjukkan, di mana iman kamu?

Mungkin orang melayu di luar sana tidak akan menanya soalan ini kepada anda. Agak aneh dan biadap untuk main 'put the donkey's tail' dengan persoalan-persoalan yang mencecah tahap transendental untuk orang kita, bimbang mendapat penampar tawar percuma. Lagipun, tiada sesiapa yang akan bertanya dalam bahasa yang terlalu baku. Gelak kecil.

Tetapi persoalan beginilah yang membawa kita benar-benar memahami keadaan iman yang turun naik ini. Jika anda berasa up up and away, kemudian down, kemudian masa yang lain tidak berasa apa-apa, anda sepatutnya mempunyai satu tempat khas untuk melihat keadaan iman anda, dan akhirnya membawa kepada kaedah rawatan yang diperlukan.

Hati.

*face palm, why haven't i thought of that*

Kisah Hanzalah, antara lain, menceritakan kepada kita bahawa hakikat iman itu terserlah dengan merasa. Nabi Muhammaad s.a.w tidaklah menjatuhkan haram aktiviti bekerja dan berlibur dengan keluarga hanya kerana ia tidak meningkatkan iman, tetapi sebaliknya menyatakan secara halusnya bahawa Hanzalah tidak merasakan imannya semasa berbuat aktiviti-aktiviti begitu.

Menurunnya iman apabila melaksanakan kerja-kerja 'bukan masjid', bukanlah bererti ianya salah dan tidak mendatangkan manfaat, tetapi jauh daripada itu, kerana keterjauhan kita daripada merasai Tuhanlah yang menyebabkan kita kecundang ke lembah perasaan bernama 'kemunafikan' itu. Dan ia menjadi satu ‘kewajipan’ untuk manusia kadang-kadang merasa jauh dari Tuhannya, kerana biarpun iman itu milik kita, acuan kita, berteleku di hati kita, hendak atau tidak, apabila iman itu berbolak-balik, ibarat kita yang terpaksa menjugglenya di atas unicycle sambil mengimbangi obor di atas kepala.

Teramat sukar.

Hatta, Rasulullah s.a.w sendiri mengiakan. Dan untuk menanganinya, lahirlah satu konsep sinusoidal (graf sin) yang amat unik. Daripada graf yang menaik dan menurun pada tahap yang sama setiap masa, periodik dan berfungsi ganjil, graf sinusoidal yang ideal ini menunjukkan trend iman kita secara keseluruhannya menaik, bangkit dan membelah kertas graf menuju infiniti. Benar ada turun-naiknya, namun pasangnya iman kita itulah yang mengatasi surutnya iman, dan kemenangan mutlak milik iman yang membanjir itu.





*****
 
Bagi para skeptis, konsep sinusoidal iman ialah eskapisme. Eskapisme kerana hakikat turun-naik sudah difahami oleh semua muslim dan meletakkan ‘kejayaan ideal sebagai iman yang keseluruhannya menancap naik’ seolah-olah terlalu memudahkan persoalan yang sebegitu kompleks. Duuh, bukan semua orang nak imannya pada tahap tertinggi bukan, soal anda dalam nada retorik.

Kelihatan kompleks, pada pendapat saya, hanyalah kerana kita tidak melihat betapa mudahnya sebenarnya iman kita untuk menaik. Ingatkah masa kecil-kecil dahulu, kita dirotan dan dipukul dan ditegur manja ala-ala harimau yang mengaum kerana tidak bersolat? Usaha kita untuk bersolat dahulu rupa-rupanya ialah akibat ‘keimanan’ takut-dirotan-dan-dijerkah, melebihi keimanan terhadap Allah itu sendiri. Dan sekarang, kita yang dewasa sepatutnya meyakini bahawasanya keimanan kita didasari kepada Allah dan tertegak dengan dalil-dalil qat’ie yang sangat mementingkan hubungan rasionalisasi dengan hati.

Lihat, inilah perubahan iman yang menancap naik itu!

Dan percayalah, semakin banyak kita mematangkan diri dengan pembacaan dan amal, memang sepatutnya iman kita akan terus diekstrapolasikan ke atas. Tidak pernah dahulu kita merasa hangatnya tangisan sewaktu solat, tidak pernah kita mencuba mentadabbur ayat-ayat suci, malah tidak pernah untuk mengetahui lebih banyak tentang sesuatu hukum fikh. Atributasinya, tidak lain tidak bukan, ialah iman yang menaik. Cumanya….

Dalam turun-naiknya iman itu, kadang-kala (bahkan selalunya!!!) kuasa jahiliyyah yang menang di atas putik-putik iman yang mahu menumbuh. Graf yang awalnya menaik, sedikit demi sedikit terpaksa mengalah kepada graviti hawa nafsu dan syaitan. Yang lebih teruk, setelah jatuh, terlalu sukar untuk kita menaiki tangga-tangga iman itu kembali. Kita merasa jauh daripada Tuhan bukan setakat di dalam aktiviti-aktiviti lagha, bahkan kesannya jauh ke dalam ‘aktiviti-aktiviti masjid’ yang semakin lama semakin menghilang fokus dan perasaan.


*****


Adakah wujud praktis yang meningkatkan iman, untuk mengalahkan graviti ini?

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal.” (Surah Rampasan Perang, 8;2)

Bermulalah dengan membanyakkan menyebut nama Allah. Usaha yang tampak fizikal dan bersifat eskapis ini ialah permulaan yang baik untuk meregangkan setiap sendi dan kulit, langsung melatihnya bergetar dengan sayunya irama iman di dalam hati.

Dan kesedaran juga penting, kerana kita perlu sentiasa meletakkan kita di plot mana pada graf iman itu. Hal ini memberi peluang untuk membuat refleksi yang mendalam, lantas menyedari yang imannya sedang di peringkat mana dan memerlukan rawatan yang bagaimana pula.

Dan Ramadan, oh Ramadan, ialah hamparan checklist yang berkesan untuk melihat sejauh mana iman kita telah ditransformasi sepanjang tahun. Adakah kita ingin mencabar diri melaksanakan ibadat-ibadat yang lebih mendekatkan kita kepada Allah pada tahun ini, ataupun perbandingan kita hanya pada permukaan Ramadan itu sahaja?

“Oh, tahun ini, insyaAllah turun lebih banyak kilo berbanding tahun lepas!!!”


Blogger Jalan Simon
blogger di tepi jalan, muslim di sepanjang jalan

Sunday, 22 July 2012

Perasaan berTuhan

Masih ingatkah kamu, ketika bacaan dalam solatmu tiba-tiba menyebabkan seluruh bulu di tengkuk terangkat, dan perasaan 'seram-sejuk' itu tiba-tiba menyelimuti dalam beberapa saat yang dinamakan orang sebagai khusyuk? Kamu meminta sepenuh hati, namun hatimu sendiri tidak dapat menakung perasaan yang hampir pecah. Dan air mata yang disekang berderai tanpa diminta.

Cumanya, kamu cuba sembunyikan esk-esk-esk itu dengan berlakon bersin atau batuk. Bimbang mendapat persepsi salah jemaah di sekeliling. Tiada apa yang salah, fikirmu.

Ketika itu jugalah Tuhan menarik balik nikmat khusyuk itu, meninggalkan kamu bersendirian untuk dipersembahkanmu, permainan tarik tali antara ria' dengan tauhid. Nikmat khusyuk yang sekejap itu akhirnya, menjadi kutukan untuk dirimu sendiri.

"Maka nikmat Tuhanmu yang mana satukah, yang kamu hendak dustakan?" (55;16)

Banyak Tuhanku, terlalu banyak.

*****

Dalam keadaan semasa yang tidak memungkinkan kita selalu memikirkan Allah (alasan kita), tidak dapat tidak, nikmat berfikir dan merasai semakin lama semakin menghilang manisnya. Berapa banyak saat yang dihabiskan untuk benar-benar khusyuk, menyerahkan seluruh jiwa dan raga kita kepada Allah, tanpa ragu-ragu dan berpatah ke belakang? Kita menggelupur untuk mencari makna pada setiap perasaan, tenggelam timbul dalam lautan aktiviti jahiliah yang jauh lebih memenuhkan hati.

“Main game lagi syok kot, Kalau tak, kerja aku lonely saje”

“Kenape ye lebih mudah menangis dengan drama korea daripada solat?”

Maka jadilah kita manusia yang tergesa-gesa dengan amal ibadat, kosong pada tadabbur, dan lemau dengan ajakan kebaikan, kerana kita, ya kita, terpaksa berkejaran untuk menaiki ekspres hawa’ dan nafsu menuju destinasi ‘hati yang cukup dan seronok’. Libang-libu hati kita. Peperangan yang dahsyat antara tarikan syaitan dan iman ini akhirnya menuju konklusi yang tanpa sesiapa sedari, amat menakutkan:

Tiada lagi perasaan untuk berbuat kebaikan. Malah tiada langsung kesedaran yang kita sudah menghilangkan nikmat Allah yang utama ini, nikmat merasa!!!

Kita merasai Tuhan dengan perasaan. Perasaan pula hadir dalam julat yang pelbagai. Bergembira ketika berbuka puasa, bersedih atas kematian para sahabat, pasrah pada setiap ketentuan. Dan lebih memaknakan semua ini - ceri di atas kek - wujud kesedaran bahawasanya tangkai hati manusia itu dipegang oleh Allah, yang Allah memberi peluang untuk kita merasa.

Menyedari ini, lengkaplah putaran perasaan kita, ibarat meneguk air mineral yang dapat disahihkan kesucian puncanya. Implikasinya, menjadi lebih mudah untuk kita berdepan dengan kesedihan tatkala mengetahui yang Allah membanjiri kesedihan itu tanpa berniat untuk menzalimi hambanya. Dan kita pun tergelak kecil, hampir sahaja tersesat dengan menyalahkan suratan takdir, padahal kesedihanlah yang paling sesuai buat kita pada waktu dan ketika itu! Kerana kita tidak mahu tergolong dalam kalangan manusia yang disebut Allah taala:

“Sesungguhnya orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan (bukti) yang sampai kepada mereka, yang ada dalam dada mereka hanyalah (keinginan akan) kebesaran yang tidak akan mereka capai, maka mintalah pertolongan kepada Allah. Sungguh Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.” (40;56)

Secara serta-merta, mana-mana lagi pesaing untuk memiliki lubuk hati kita dapat dihancur lumatkan. Masakan tuhan nafsu yang bertenggek pada hati setiap kali kita melaksanakan aktiviti jahiliah itu yang memberi perasaan, langsung tempat kita bergantung harap meminta pertolongan. Tidak mungkin!


*****

Bulan yang mulia, Ramadan Kareem, menjadi saksi pencarian kita ini. Inilah tempoh waktu di mana turunnya Al-Quran itu dapat menjadi manual perjalanan ini yang amat sukar dan panjang. Pencarian kepada perasaan berTuhan:

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan baarang siapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak seorang pun yang dapat memberi petunjuk.” (39;23)

Dan khusyuk akan kembali mendakap kita, baik dalam solat mahupun setiap gerak kehidupan kita. Kita pun akan mengangkat ikrar, dengan semangat yang membuak-buak, kita tidak akan lagi mensia-siakan peluang ini!


Blogger Jalan Simon
blogger separuh jalan, muslim sepanjang jalan