Friday, 23 November 2012

Pemuda Hari Ini


Mari kita renung sejenak dan bertanya-tanya! Apakah permasalahan yang dihadapi oleh pemuda dan mahasiswa pada hari ini? Kita akan dapati bahawa permasalahan-permasalahan yang akan menjadi tumpuan dan kerisauan para pemuda masa kini berlegar soal pembelajaran, soal peluang pekerjaan, soal hubungan cinta, soal kewangan dan mungkin juga soal kekeluargaan.

Pemuda hari  ni telah tenggelam dengan segala permasalahan yang bersifat peribadi dan individual. Telah luput dan pupus daripada kehidupan generasi muda untuk memikirkan permasalahan-permasalahan besar dan penting seperti keadaan negara  Islam yang ditekan kuasa besar dunia, kesempitan negara Islam yang dibelenggu hutang dan kemiskinan, korupsi dan kelemahan sistem pengurusan negara Islam, kemunduran ilmu dan tahap pendidikan di kalangan negara Islam, dan kemerosotan nilai dan moral peribadi-peribadi muslim.

Generasi muda hari ini lebih memikirkan diri mereka daripada ummatnya. Permasalahan individu dianggap soal serius mengatasi permasalahan ummat. Apa yang diharapkannya adalah kebaikan dan kebahagiaan hidupnya sendiri dan sanggup membiarkan ummatnya dihina sengsara.

Umpama si anak-anak kecil yang bercita-cita dan menyangka dirinya adalah objek yang paling penting di atas muka bumi. Segalanya dibatasi oleh dirinya dan keinginan peribadinya, tidak lebih dari itu.

Imam Hasan Al Banna: Amal dan Kegembiraan baginya

“Saya berpendapat seorang yang baik akan mencari kebahagiaan dan panduan dengan berkhidmat kepada manusia. Dia merasa seronok apabila dia berupaya menghilangkan kesusahan orang dan membuat orang lain gembira. Dia sanggup berkorban untuk pembaharuan masyarakat sebagai keuntungan hakiki bagi dirinya…

Saya yakin tindakan yang tidak bermanfaat kepada orang lain dan juga dirinya ialah tindakan yang salah dan tidak berguna. Tindakan yang paling baik ialah tindakan yang bermanfaat kepada diri sendiri, saudara mara, rakan taulan dan juga negara. Tindakan yang memberi manfaat kepada umum ialah tindakan yang hebat dan mulia.”
(Detik-detik dalam Hidupku)

Selekeh-lekeh amal adalah amal yang hanya memberi kebaikan kepada dirinya sahaja, dan sebaik amal apabila kesannya dirasai bukan sahaja oleh dirinya tapi juga manusia di sekilingnya. Lantas kegembiraan baginya adalah manusia lain turut bergembira kerananya. Sebaliknya, kesedihan untuk dirinya apabila manusia tenggelam dalam kejahilan dan menjauhi petunjuk Ilahi.

Barangkali inilah yang telah dirasai oleh para nabi apabila menyeru manusia kepada petunjuk Tuhan, mereka gembira apabila manusia menerimanya dan bersedih, risau apabila manusia menolak risalah.


أن عائشة زوج النبي صلى الله عليه وسلم حدثته؛ أنها قالت لرسول الله صلى الله عليه وسلم: يا رسول الله! هل أتى عليك يوم كان أشد من يوم أحد؟ فقال (لقد لقيت من قومك. وكان أشد ما لقيت منهم يوم العقبة. إذ عرضت نفسي على ابن عبد يا ليل بن عبد كلال. فلم يجبني إلى ما أردت. فانطلقت وأنا مهموم على وجهي. فلم أستفق إلا بقرن الثعالب.

Aisyah r.a. isteri Nabi s.a.w. bercerita:
“Sesungguhnya beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Adakah kamu pernah mengalami suatu hari yang lebih berat daripada hari peperangan Uhud? Rasulullah s.a.w menjawab: Ya! Waktu itu aku bertemu dengan kaummu (Quraisy), tetapi yang paling berat lagi ialah ketika aku berada pada hari Aqabah. Aku menyeru Ibnu Abdul Yalil bin Abdul Kulal untuk mengikuti aku (Islam). Namun beliau enggan memenuhi ajakan tersebut. Aku seterusnya pergi meninggalkan tempat itu tanpa tahu arah mana yang harus aku tuju (kerisauan/gundah gulana). Aku tidak tahu ke mana langkahku, tetapi yang jelasnya (sedar-sedar) aku telah sampai di daerah Qarnu Tha'alib…(hingga akhir hadith)”
(Sahih Muslim)

Inilah perasaan yang sewajarnya ada pada diri setiap pemuda, kegembiraan baginya adalah apabila risalah hidupnya dirasai oleh manusia sekelilingnya. Lantas dia berjuang dan berjihad memastikan agar seluruh ummat manusia merasainya. Kegembiraannya adalah kegembiraan ummatnya.

Mewarisi tugas para nabi dan rasul menyeru manusia menumpukan hidup semata-mata untuk Allah (Ubudiyyah Lillah Wahdah) sepertimana yang dijelaskan oleh Sayyid Abul A’la Al-Maududi di dalam Syahadatul Haq. Manusia perlu dipimpin oleh Islam dan risalah Islam bukanlah sekadar simpanan peribadi di kocek-kocek para penganutnya.

Mereka dan Kejayaan

Alangkah malangnya apabila generasi pemuda hari ini hanya menilai kejayaan dengan material. Kejayaan bagi mereka adalah apabila beroleh segulung ijazah ataupun apabila hidup mereka terjamin dengan kehebatan perniagaan. Segala tenaga mereka dikerahkan bagi mendapat pendapatan yang baik, tempat tinggal yang mewah dan membina keluarga yang besar. Berbahagialah mereka dengan dunia mereka yang dibatasi keinginan peribadi semata-mata.

Generasi Muda di Zaman Rasulullah

Zaid bin Tsabit
Muaz dan Muawwiz
Usamah bin Zaid
Ali bin Abi Thalib
Arqam bin Abi Arqam
Saad bin Abi Waqas
Thalhah bin Ubaidillah

Pemuda dalam Al-Quran

Ashabul Kahfi
Nabi Ibrahim (6:74), Nabi Daud (2:251)
Ashabul Ukhdud, Ashabul Kahfi (17:13)
Nabi Musa (Al-Qasas:26), Nabi Yusuf (Yusuf:55), Thalut (2:247), Nabi Muhammad (Taubah:128)

Mengapa berlaku perbezaan antara dua generasi ini?

Sesiapa memiliki pemuda hari, maka ia akan memilik masa depan.

Umar r.a. pernah mengungkapkan:
“Barangsiapa ingin menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka genggamlah para pemudanya

Hakikat inilah yang difahami oleh musuh-musuh Islam terutama gerakan Zionisme yang sentiasa berusaha melemahkan ummat Islam dan mahu memadam sebarang bara kebangkitan ummat Islam. Tidak lain tidak bukan, mereka telah berusaha merosak golongan pemuda dengan meracuni pemikiran, merosakkan perasaan, membunuh semangat dan memesongkan tenaga pemuda kepada perkara remeh yang memandulkan peribadi pemuda. Mereka telah melancarkan Ghazwatul Fikr kepada ummat Islam.


Sumber: http://www.imemc.org/article/60860


Setelah King Louis IX tewas dalam Perang Salib dan ditawan oleh tentera Islam, dia membuat kesimpulan:

“Kita tidak akan dapat mengalahkan orang Islam selagimana mereka rapat dengan kitab ini (Al-Quran).”

Gerakan Zionisme yang mahu menguasai dunia pula telah menggariskan protokol mereka untuk memastikan generasi masa hadapan rosak dan terencat pemikiran mereka.

Protokol Kesembilan
...Yahudi akan merosakkan moral pemuda-pemuda bukan Yahudi dengan menanamkan teori-teori palsu dan ilmu-ilmu yang batil.

Protokol Ketiga belas
Bagi memastikan kejayaan usaha-usaha memonopoli dan mempercepatkan proses keruntuhan, maka bangsa Yahudi hendaklah menghapuskan golongan korporat dari bukan bangsa Yahudi di samping mengadakan spekulasi dan menyebarkan projek mewah, pesta-pesta serta pelbagai bentuk hiburan lain di kalangan bangsa bukan Yahudi kerana semua ini akan menelan kekayaan mereka. Untuk mengalih perhatian orang bukan Yahudi daripada memikirkan persoalan politik, maka agen Yahudi hendaklah membawa mereka kepada kegiatan-kegiatan hiburan, olahraga, pesta-pesta, pertandingan kesenian, kebudayaan dan lain-lain lagi.

Protokol Keenam belas
Yahudi akan mendirikan universiti mengikut rancangan yang begitu tersusun. Pensyarah-pensyarah akan mendidik dan membentuk para pemuda supaya menjadi manusia yang patuh kepada pihak berkuasa (Yahudi). Bagaimanapun, ajaran-ajaran mengenai undang-undang negeri dan politik tidak akan diajar kecuali beberapa orang sahaja yang dipilih kerana kebolehan mereka.

Rentetan daripada perancangan ini lahirlah satu generasi pemuda yang berpemikiran sempit, punya keinginan dan minat kepada hiburan dan keseronokan duniawi, tenaga dilaburkan kepada minat-minat mereka seperti untuk hiburan, dan kefanitikan mereka sehingga sanggup berkorban apa sahaja untuk memperoleh tiket ke konsert atau ke stadium. Mungkin yang paling baik di antara mereka pun hanya memikirkan kejayaan kerjaya dan kekayaan harta benda, apa pun tidak lebih daripada kegembiraan dan kebaikan hanya untuk diri mereka sendiri.

Apabila lemahnya golongan pemuda maka lemahlah satu generasi

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ

Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu ia menjadikan kamu kuat, setelah itu ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
(Ar-Rum : 54)

Usia pemuda adalah kemuncak kepada kekuatan manusia. Dengan lemahnya golongan ini maka lemahlah satu kaum  itu.

Malang sekali apabila para pemuda masih ditanam dengan anggapan dan imej bahawa mereka masih kanak-kanak lagi. Usia mereka dilaburkan untuk bermain-main, berseronok dan bercinta. Apakah sebenarnya definisi pemuda?

Menurut pandangan perspektif ciptaan manusia, usia generasi pemuda adalah umur antara 15 - 24 tahun sepertimana yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sedangkan Islam telah meletakkan umur baligh sebagai umur di mana seseorang untuk boleh diberi tanggung jawab dan Allah bahkan akan mempersoalkan mereka ini pada hari kiamat atas apa jua perbuatan, perkataan, impian dan obsesi mereka. Maka umur inilah manusia sewajarnya mula mempunyai pemikiran yang luas, berpandangan jauh, perasaan bertanggung jawab dan bersungguh-sungguh dalam kehidupan mereka.

Pemuda adalah Kunci Kebangkitan Ummat

“Pemuda ialah rahsia kehidupan ummat dan sumber matair kebangkitannya.  Sejarah ummat ialah sejarah para tokoh yang dilahirkannya, yang memiliki aqliyah yang kuat dan ruh yang membara. Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan ‘rahim’ umat itu melahirkan tokoh – tokoh yang memenuhi syarat rijal yang sebenarnya…”
(Al-Maududi)

Faktor-faktor Kejayaaan ada pada Ciri-ciri Pemuda

إنما تنجح الفكرة إذا قوي الإيمان بها ، وتوفر الإخلاص في سبيلها ، وازدادت الحماسة لها ، ووجد الاستعداد الذي يحمل على التضحية والعمل لتحقيقها . وتكاد تكون هذه الأركان الأربعة : الإيمان، والإخلاص ، والحماسة ، والعمل من خصائص الشباب

“Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan (iman), kejujuran (ikhlas), semangat (hamasah) dan tindakan (amal) adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
(Wahai Pemuda)

Dapat disimpulkan daripada ini bahawa pemuda mempunyai ciri-ciri berikut:
1.      القلب الذكي Hati yang cerdik yang menghasilkan keimanan
2.      الفؤاد النقي : Nurani yang suci yang menghasilkan keikhlasan
3.      الشعور القوي Perasaan yang bergelora yang menghasilkan semangat
4.      العزم الفتى Keazaman pemuda yang menghasilkan amal

Kita adalah faktor kejayaan kebangkitan ummat ini, sejauh mana kita mahu berusaha mencapainya sejauh itulah ummat ini akan bergerak dan berubah. Jika segala potensi yang ada pada diri kita disalurkan kepada perjuangan risalah maka kejayaan adalah satu kepastian, dan jika sebaliknya, segala potensi itu akan dibazirkan atau bahkan mungkin akan hanya menyumbang kepada kekuatan musuh dan kelemahan ummat Islam.

Peranan Kita adalah Tanggung Jawab yang Besar

“Inilah maka kamu, angkatan pemuda yang akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipat kali ganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambah berat.”
(samb. Wahai Pemuda)

Tidak keterlaluan jika kamu merasakan bahawa kamu adalah orang-orang yang memikul beban ini setelah semua manusia membelakangkannya”
(Dakwah Kita adalah Penyelamat)

Kemanakah usia mudamu?

Daripada Abdullah ibn Masud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Kelak pada hari kiamat, kaki seseorang anak adam tidak akan berganjak dari sisi Rabbnya, sehingga lima perkara ditanyakan kepadanya: tentang usianya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapat dan untuk apa dia belanjakan, dan tentang ilmu apa yang dia perbuat dengannya.”
(At-Tirmizi)

Peringatan ini sangat bermakna kepada kita sebagai para pemuda juga mahasiswa. Allah s.w.t. pasti akan mempersoal usia terutama ketika kita bergelar pemuda. Apa yang persoal adalah sejauh mana kita telah melaksanakan risalah perjuangan para nabi dan rasul terdahulu yang kita warisi sebagai ummat pertengahan.

Menyedihkan! Apabila golongan pemuda sibuk dengan impian mereka memperoleh ijazah tetapi mengabaikan dan melupakan peringatan “...tentang hartanya dari mana dia dapat dan untuk apa dia belanjakan, dan tentang ilmu apa yang dia perbuat dengannya.”

Akhirnya mereka hanya memikirkan ijazah untuk dirinya dan jaminan hidup yang senang di masa hadapan. Mereka menjadi bahan percaturan Zionis dan leka dengan matlamat peribadi sahaja.

Yang kita mahukan adalah para pemuda yang bukan sahaja memperoleh ijazah tetapi juga bersama sebuah risalah yang akan memandu hidupnya, risalah untuk mengembalikan Islam pada kedudukannya.

Kita perlu mengembali pemuda kepada kehidupa generasi awal Islam, Generasi Al-Quran yang Unik:

“Dakwah Islamiyah telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah s.a.w., r.a, iaitu suatu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama dari penghidupan dakwah ini.”
(Petunjuk Sepanjang Jalan)

Kita perlukan pemuda sepeti Zaid bin Tsabit, Thalhah bin Ubaidillah, Ali bin Abi Thalib dan Usamah bin Zaid.

Kita Memerlukan Rijal untuk Ummat ini

 “Barangkali saudara bertanya apakah jalannya ke arah revolusi dan pembenterasan ini? Sesungguhnya sesuatu revolusi tidak akan tercapai dengan angan-angan kosong, sudah menjadi sunnah Allah bahawa ini hanya akan berlaku apabila telah lahir Ar-Rijal untuk mengemudi urusan ini”
(Al-Maududi)

Abu Muhammad (Ismail Ibrahim)
Waterford, Ireland

Thursday, 8 November 2012

Kisah Tiga Pemuda

Dari Abdullah b. Umar R.a meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w telah bercerita:

Sekumpulan tiga orang pemuda yang keluar, mengembara ke suatu tempat. Sedang mereka dalam perjalanan, hujan turun dengan lebatnya memaksa mereka untuk mencari perlindungan. Mereka bergegas berlari ke arah sebuah gua. Setelah mereka masuk ke dalam gua, tiba-tiba, sebuah batu besar jatuh dari atas gunung lalu menutup pintu gua. Mereka terperangkap.

Gambar Hiasan

Seorang dari mereka lalu berkata kepada yang lain, "Ingatlah kembali akan amal kebaikan yang pernah kalian lakukan ikhlas kerana Allah dan berdoalah padaNya semoga kita diselamatkan dari masalah ini".

 Lalu seorang dari mereka bersuara: Ya Allah, aku masih mempunyai ibu bapa yang sudah tua, isteri dan anak-anak yang masih kecil. Setiap kali selepas aku pulang dari bekerja, aku akan membawakan mereka air susu. Aku mulai dengan menghidangkan susu tersebut kepada kedua ibu bapaku. Suatu hari, aku terlambat pulang dari pekerjaanku. Aku dapati ibu bapaku sudah tidur. Namun aku masih meneruskan rutinku. Aku perahi susu lembu dan aku bawa kepada mereka. Tanpa mengejutkan mereka, aku berdiri berhampiran. Pada waktu itu, sungguh tidak aku temui keutamaan memberi susu itu kepada anak-anakku sebelum ibu bapaku menikmatinya. Biar anak-anakku berteriak menangis meminta susu tersebut dariku, namun tidakku beri. Aku terus berdiri sehingga pagi keesokan harinya. Ya Allah, seandainya amal yang aku lakukan ini ikhlas keranaMu, maka permudahkanlah kami dari kesulitan ini. 

Lalu batu itu bergerak sedikit. Sedikit yang tiada orang mampu melepasinya.

 Pemuda kedua pula mengadu: Ya Allah, pernah aku cintai saudara perempuanku tidak kurang daripada cintanya seorang lelaki terhadap wanita. Sungguh, suatu hari pernah aku godai saudaraku itu untuk berzina. Dia bersetuju menuruti kemahuanku seandainya aku penuhi permintaannya, hadiahi dirinya seratus dinar kerana dia terlalu memerlukan wang sebanyak itu. Permintaan itu bagiku terasa amat besar. Namun tetap aku gagahi diriku untuk mencari wang sebanyak itu. Apabila cukup sahaja seratus dinar, aku kembali padanya untuk melakukan zina. Aku berikan padanya wang itu. Ketika aku hampir sahaja melakukan dosa itu, dia berkata, "Wahai hamba Allah, takutilah engkau pada Allah dan janganlah engkau merosakkan ikatan itu melainkan dengan hak". Aku pantas berdiri meninggalkan dia. Ya Allah, kiranya aku bangun meninggalkan dia itu adalah amalanku yang paling ikhlas padaMu, maka ringankanlah beban kami Ya Allah. 

Bergerak lagi batu itu sedikit. Kali ini sehingga menampakkan cahaya dari luar.

Kemudian, pemuda ketiga berkata: Ya Allah, telah aku upahi seorang pemuda untuk menyukat padi beras. Setiap kali selesai sahaja kerjanya, aku berikan baki padi beras sebagai hadiah, tetapi dia menolak. Lalu aku gunakan padi itu sebagai benih. Tanaman padiku berhasil. Apabila aku menuainya, maka aku memperoleh hasil yang sangat banyak. Kekayaan itu menyenangkan diriku sehingga aku mampu untuk memiliki lembu dan kambing. Pemuda tadi kemudian datang kepadaku dan berkata, "Takutilah Allah dan jangan engkau menzalimi hakmilikku". Lalu aku katakan padanya,"ambillah kesemua lembu dan kambingku ini". Dia lalu berkata,"Takutilah Allah dan jangan engkau mempermain-mainkan aku". Aku menjawab,"Sungguh aku tidak bermain-main, ambillah lembu dan kambingku ini".  Wahai Allah, jika amal ini ku lakukan ikhlas keranaMu, maka tenangkanlah diri kamu atas kesulitan ini.

Maka bergeraklah batu yang menutupi pintu gua itu sehingga mereka boleh melalui dicelahnya.



Buku 36, Nombor 6607 (Sahih Muslim)

Wednesday, 24 October 2012

Exam Datang Lagi~

Bismillah.

Masa berlalu.. pantas..
tup tap tup tap.. dah nak exam..
Hah??!!! Sudah mau exam???!!! Stresss

Sebagai seorang pelajar yang tidak genius mahupun berotak super geliga, exam adalah satu fasa yang mendebarkan, merisaukan, menggusarkan. Kadang-kadang menakutkan.

Ini normal bukan? Clichė~

Perasaan-perasaan ini seterusnya menyebabkan kita bingkas bangkit dari lamunan mimpi di siang hari dalam lecture hall. Mata yang sebelum ni 'celik segan, pejam tak mahu', tiba-tiba terbeliak dlm dewan kuliah. Tips untuk final exam yg lecturer bagi disalin sebijik-sebijik. Buku-buku teks tebal yang dah berhabuk di rak buku diselak helaian demi helaian dari kulit ke kulit. Sebelum ni, nak jenguk cover depan buku teks pun segan-segan. Lecture notes untuk 1 sem di-print sekaligus, wang tidak lagi menjadi penghalang. Sebelum ni nak print slide 5 page pun kedekut. Masa yg sebelum ni habis dekat game, mukabuku [facebook], drama korea dan lain-lain sanggup dikorbankan demi exam. Group discussion tiba-tiba muncul untuk menjamin kefahaman so that dapat jawab final exam dengan tenang dan aman. Sebelum ni, jangan cakap group discussion, study sendiri-sendiri pun tak sempat bro~

Ini perkara biasa bukan? No big deal..

Manusia bertukar 360º atau dalam loghat jepun 'henshin' abis demi kesejahteraan ketika exam & dengan harapan menggunung result exam bakal memberi sinar harapan untuk masa depan yg belum pasti.

Henshin [baca dengan loghat jepun] 

Refleksi

Bagi yg sudah dapat menghidu point-point penting yg bakal saya utarakan, pasti sudah tersengih-sengih sendirian.. tak pun sudah pedih ulu hati akibat serangan bertubi-tubi yg sudah terkena tembak. Eheh

Hari ini, ingin diri yg hina ini mengajak kita untuk sama2 tadabbur peristiwa exam yg berulang dan terus berulang setiap tahun. Alhamdulillah kita diberi peluang untuk celik ataupun sedar tentang situasi, kondisi dan realiti umat islam kini, sedar akan keadaan diri kita sendiri dan persekitaran di dunia ini. Kita sewajarnya menjadi generasi yg sudah 'terbeliak'.. bukan lagi 'bermata kuyu' mahupun 'mata kelip-kelip'. Tak guna sekadar celik & sedar, tapi 'terbeliak' yg membuahkan tindakan. Sedarnya kita perlu kepada TARBIYAH seterusnya meletakkan tarbiyah dalam prioritas yg tinggi dalam hidup ini!!!

Tarbiyah bukan segalanya, tapi segalanya bermula dengan tarbiyah

Kitab Al-Furqan yg dulu kurang dibelek, kini patutnya menjadi teman setia. Bukan sekadar ditilawah, malah dihafaz surah-surahnya. Ditadabbur ayat-ayat osem ilahi, dipelajari tafsirannya. Tiada kitab yg dapat menjamin kesejahteraan kita di masa kini dan di masa hadapan melainkan kitab suci Al-quran. Al-quran, koleksi surat-surat cintaNya khas buat hamba-hambaNya.



Al-Quran.. sarat dengan ayat-ayat cinta ilahi~

Harta, masa, tenaga.. di mana kita habiskan??? Celiknya kita patut merubah diri ini. Tangan tak lagi segan untuk dimasuk ke dalam poket mengeluarkan wallet lalu dikorek helain duit kertas untuk disedekah. Tenaga yg mampu dihabiskan berfutsal, berbasketball, ber[apa2 sukan], bermain guli, etc mampu juga diutilise untuk melangkahkan kaki ke masjid/surau, bangun qiam, berpuasa sunat, dan banyak lagi! Begitu juga masa, kini dihabiskan dengan perkara bermanfaat tidak lagi dibazirkan dengan perkara sia-sia a.k.a lagho.


sudahkah anda tinggalkan beban-beban jahiliyah? Adios jahiliyah~

Mari duduk bersama kami, kita group discussion sejenak setiap minggu, berbulatan gembira, liqo', halaqah, quranic circle atau apa-apa nama yg sewaktu dengannya demi kefahaman ad-deen kita yg sudah kita celik akan kepentingannya. Dan tak lupa tarbiyah ini tak boleh kita nak harap daripada bulatan gembira sahaja, perlu kita sedar yg kadang-kadang kita study sendiri-sendiri, so the same goes with tarbiyah, perlu kepada 'tarbiyah dzatiyah' atau dlm bahasa yg lebih simple 'tarbiyah sendirian berhad'. Hal ini kerana majoriti masa kita habis dengan diri sendiri dan bukan di dalam bulatan gembira semata-mata.



pergh, besaunyer bulatan gembira nih!!

Jadi, ayuhlah kita 'HENSHIN' demi kesejahteraan kita pada hari exam besar kita, hari kebangkitan, yaumul qiyamah. Sama-sama kita usaha untuk pastikan kita semua sukses with flying colours di akhirat kelak kerana sesungguhnya hari itu satu kepastian! Bukankah syurga & neraka satu yg PASTI?

Cukup sekadar di sini. Kalian boleh elaborate sendiri-sendiri tanpa perlu saya panjangkan post yg sudah panjang ni.

Kami dah 'HENSHIN', anda bila lagi???

Moga Allah redho~


p/s: Terima kasih, jazakallahu khoir buat yg sudi spend masa baca tulisan yg tak seberapa ni. Moga Allah permudahkan urusan preparation, study & exam kalian. Moga diberi result yg terrrrrrbaik!!!!!! :)

Doakan saya jugak tau! [^_^]v


Musalman Jalanan
musalman yang berjalan mencari redho tuhan

Sunday, 21 October 2012

Antara kita dan burung. (Pengajaran kisah hudhud)

Saya menulis nota ini sebagai pengajaran pada kita semua selarikan dengan kepentingan Al-quran dan Assunnah. Al-quran bukan diturunkan untuk kamu berhujjah dan berhukum semata-mata atau mencari kesahihan ilmu semata-mata. Tapi ia untuk ditadabbur (dihayati) dan untuk diambil pengajaran. Tiada gunanya jika kita hanya mnggunakan Al-quran untuk mengatakan "kamu salah, kamu btol.. apa yang kamu sampaikan ini taqlid. dan tak ada asas." Saya tegaskan. TAK!!! Gunakan Al-quran ini sebagai panduan untuk kita semua sepanjang hari.


38-29: Kitab yang Kami (Allah) turunkan kepada engkau penuh berkah agar mereka mentadabbur(menghayati) ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal sihat mendapat petunjuk
Surah Sad(38:29)


 Ini juga disebut oleh Allah dalam surah Al-Mu'minun:


23-66: Sesungguhnya ayat-ayat-Ku (al-Qur’an) telah dibacakan kepada kamu namun, kamu selalu berpaling ke belakang.

23-67: Kamu menyombongkan diri, memperkatakannya (al-Qur’an) pada malam hari, perkataan-perkataan keji.

23-68: Tidakkah mereka mentadabbur(menghayati) firman (Allah) itu, atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?

23-69: Atau, adakah mereka tidak mengenal rasul mereka, kerana itu mereka memungkirinya?

23-70: Atau mereka mahu katakan: "Padanya (Muhammad saw) ada penyakit gila." Sebenarnya dia (Muhammad saw) datang kepada mereka dengan kebenaran, tetapi kebanyakan mereka benci kepada kebenaran.

23-71: Sekiranya kebenaran itu tunduk kepada keinginan mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami (Allah) mendatangkan kepada mereka peringatan, tetapi mereka berpaling daripada peringatan itu.

23-72: Adakah engkau meminta upah daripada mereka? Jangan! Upah daripada Rab (Tuhan) engkau adalah lebih baik, dan Dia (Allah) adalah sebaik-baik yang memberi rezeki.

23-73: Dan sesungguhnya engkau benar-benar menyeru mereka kepada jalan yang lurus.

23-74: Dan sesungguhnya orang yang tidak beriman kepada akhirat, menyimpang (juga) daripada jalan.

23-75: Walaupun Kami (Allah) kasihan belaskan mereka, dan Kami (Allah) hilangkan kemudaratan yang ada pada mereka namun, mereka tetap terumbang-ambing terus menerus dalam kederhakaan mereka.

Allah bertanya, kenapa tidak menghayati ayat-ayat ini? Dan dalam ayat seterusnya, Allah menceritakan tentang orang yang tidak mahu menerima kebenaran. Wallahualam..


Pengajaran burung hudhud.

Kita kena tahu burung hudhud adalah tentera yang bekerja dibawah pemerintahan kerajaan Sulaiman a.s. Seperti yang kita sedia maklum, seorang tentera pasti terikat dengan disiplin dan peraturan tentera yang ketat. (bayangkan tentera kat malaysia, salah sikit da kena pumping) Namun begitu, lihat apa yang terjadi dalam kisah hudhud. Hudhud gagal untuk menghadirkan perhimpunan pagi. Dan dia pasti tahu, ketuanya (iaitu nabi Sulaiman) pasti akan menghukum dia.

Kita kena tahu burung hudhud ini, tidak datang bukan sebab dia nak ponteng tapi disebabkan dia pergi berjalan jauh hingga ke negeri Saba'. Di sana dia mengintip adakah orang-orang di negeri Saba' itu beriman pada Allah atau tidak. Malangnya tidak. Seperti yang kita tahu, mereka ini semua menyembah matahari. Nak dikatakan kat sini, demi menjalankan tugas syahadahnya, si hudhud sanggup meletakkan nyawanya sebagai taruhan.

Kesimpulan:

 1. Kita kena dan wajib untuk mendisiplinkan diri seperti hudhud yang menjadi tentera yang berdisiplin.. (die xdtg perhimpunan bkn sbb die xberdisiplin ea..)

 2. Tugas Syahadah kita, kita kena lakukan walau siapapun kita seperti yang dilakukan oleh burung hudhud. Apa yg dia mampu lakukan sebagai seorang tentera adalah menyampaikan berita tentang negeri Saba' pada ketuanya. Sebagai raja, Nabi Sulaiman menghantar utusan menyampaikan syahadahnya.

Di sini nak tunjuk, walau siapa pun kita, lakukan tugas kita sebagai Muslim dengan jayanya, sebagai seorang student, mungkin boleh melakukan dakwah dengan menunjukkan qudwah melalui result. Jika pemimpin pelajar-pelajar pula, mungkin boleh dengan menunjukkan qudwah, cara kita bergaul semua.

 3. Di sini, Islam menunjukkan keringanan apabila melakukan dakwah. Nak tunjukkan kat sini melanggar peraturan atau disiplin tentera itu sangat-sangat berat tapi kita lihat apa yang dilakukan dan dikatakan Nabi Sulaiman. Baginda kata, dia jatuhkan hukuman yang berat tapi sebaliknya berlaku. Dalam berdakwah, ada certain benda yang kita faham fiqh dakwah dan fiqh awliyatnya. Memang disiplin ilmu itu penting tapi. Fikirkan dan renungkan sendiri.

 4. Jangan terpengaruh dengan kisah-kisah yg isra'liyat yg  tidak sahih. Dan jauhi pada persoalan perkara-perkara yang tidak penting seperti:

-bagaimana rupa burung hudhud

-jauh mana negeri Saba' tu (yang penting dia jauh.) xyah la gado jauh mana.
-bagaimana rupa perhimpunan yang dilakukan nabi Sulaiman. (yang pasti dihadiri semua tentera)
-apa pangkat burung hudhud, mesti jeneral kan. tu sebab nabi sulaiman kenal dia.. (tak penting dan tak ada kena mengena langsung) haha

Gambar Hiasan

renung2 kan.

kisah ini dipetik dari Surah An-naml:

27-20: Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah ia termasuk yang tidak hadir.”

27-21: “Sungguh aku akan mengazabnya dengan azab yang keras, atau benar-benar menyembelihnya, kecuali jika ia datang kepadaku dengan alasan yang terang.”

27-22: Maka tidak lama kemudian datanglah ia (hud-hud), lalu ia berkata: "Aku mengetahui apa yang kamu belum mengetahuinya; dan aku bawa kepada kamu dari negeri Saba’, suatu berita yang diyakini (benar).”

27-23: “Sesungguhnya aku mendapati seorang wanita memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar.”

27-24: “Aku mendapati dia dan kaumnya bersujud kepada matahari, selain Allah; dan syaitan telah menjadikan mereka memandang baik perbuatan mereka, sehingga tertutuplah bagi mereka jalan. Maka mereka tidak mendapat petunjuk.”

27-25: “Bahawa (mereka) tidak bersujud kepada Allah yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bum, dan yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan.”

27-26: “Allah, tiada Ilah (Tuhan) kecuali Dia, Rab (Tuhan) bagi ‘Arash yang besar.”

27-27: Berkata (Sulaiman): "Akan kami lihat, apakah kamu (hud-hud) benar, ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta.”

27-28: “Pergilah dengan (membawa) suratku ini, dan jatuhkanlah ia kepada mereka, kemudian berpalinglah daripada mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka kembalikan (jawab).”

27-29: Berkata ia (Ratu Saba’): "Wahai pembesar-pembesar! Sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sepucuk surat yang mulia.”

27-30: “Sesungguhnya ia daripada Sulaiman, dan sesungguhnya ia (menyebutkan): Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).

27-31: “Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai Muslimin (orang berserah diri).”

27-32: Berkata dia (Ratu Saba’): "Wahai para pembesar! Berilah fatwa kepadaku dalam urusan ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu menyaksikan.”

27-33: Mereka menjawab: "Kita adalah orang yang memiliki kekuatan dan memiliki keberanian yang sangat (tinggi), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang akan kamu perintahkan.”

27-34: Dia (Ratu Saba’) berkata: "Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia (jadi) hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat.”

27-35: “Dan sesungguhnya aku akan mengirim kepada mereka suatu hadiah, dan menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan itu.”

27-36: Maka tatkala utusan itu sampai kepada Sulaiman, dia (Sulaiman) berkata: "Adakah kamu (hendak) membantu aku dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan-Nya (Allah) kepadamu; tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu.”

27-37: “Kembalilah kepada mereka! Sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentera yang mereka tidak terdaya melawannya, dan kami akan mengusir mereka daripada negeri (Saba’) itu dengan terhina, dan mereka (dalam keadaan) tidak berharga.”

27-38: Berkata (Sulaiman): "Wahai pembesar-pembesar! Siapakah antara kamu yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai Muslimin (orang yang berserah diri)?”

27-39: Berkata 'Ifrit daripada (golongan) jin: "Aku akan datangkan kepada engkau singgahsana itu sebelum engkau berdiri daripada tempat duduk engkau. Dan sesungguhnya aku atasnya (membawa singgahsana itu), benar-benar kuat lagi boleh dipercayai.”

27-40: Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada kitab: "Aku akan mendatangkannya (singgahsana itu) kepadamu sebelum matamu berkelip." Maka tatkala Sulaiman melihatnya (singgahsana itu) telah berada di hadapannya, dia pun berkata: "Ini termasuk kurnia Rab (Tuhan)ku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari. Dan sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Rab (Tuhan)ku adalah al-Ghaniy (Maha Kaya), lagi al-Karim (Maha Mulia).”

27-41: Dia (Sulaiman) berkata: "Ubahlah baginya (Ratu Saba’) akan singgahsananya, maka kita akan melihat apakah dia mengenalinya ataukah dia termasuk orang yang tidak mengenal.”

27-42: Dan tatkala dia (Ratu Saba’) datang, ditanyakanlah kepadanya: "Serupa inikah singgahsana kamu?" Dia menjawab: "Ia seakan-akan ini! Dan kami telah diberi pengetahuan sebelumnya, dan kami adalah Muslimin (orang yang berserah diri).”

27-43: Dan menghalanginya apa yang dipertuhankannya (dahulu) selain Allah. Sesungguhnya dia (dahulunya) termasuk orang yang kafir.

27-44: Dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam istana!” Maka tatkala dia melihatnya (lantai istana itu), disangkanya kolam air, lalu disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah dia (Sulaiman): "Sesungguhnya ia adalah istana yang dipergilapkan (dibuat) daripada kaca." Berkatalah dia (Ratu Saba’): "Rabbi (wahai tuhanku! Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, dan aku aslim (berserah diri) bersama Sulaiman, kepada Allah, Rab (Tuhan) sekalian alam.

Al-chong.. nama gelaran..