Tuesday, 3 June 2014

DA'IE: KERJAYA TERBAIK DI DUNIA

PERTAMA sekali, reality check: kita bukanlah malaikat. Tidak sempurna. Dalam diri kita ada nafsu yang menjadi pendamping setia kita ke mana-mana kita pergi, walaupun kehadirannya tidaklah diidamkan. Dan ilmu kita tidaklah setinggi ilmu para ulama’ dahulu dan sekarang. Lagipun kita bukanlah pakar bahasa yang mampu menyusun kata-kata seindah nukilan As-Syahid Syed Qutb mahupun Sheikh Muhammad Ahmad ar-Rasyid. Kepetahan pidato kita tidaklah sehebat mana – jauh lebih hebat As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, dan jauh sekali Nabi Harun A.S. 
Kita ada kelemahan. Malah, dalam kalangan manusia sejemaah juga, sering kita rasa diri kita bagaikan sebuah lembah yang dikelilingi gunung-ganang.
Namun, ingatlah, lembah yang rendah itu boleh dikerjakan dan membuahkan hasil tanaman.
Selemah-lemah kita, serendah-rendah kita fikirkan terhadap diri kita, sehingga merasai inferiority complex, ketahuilah satu perkara: kerja tetap kena jalan.
Apa kerjanya? 

Dakwah.

Menjadi seorang da'ie.
Kerjaya terbaik di di dunia.

          “Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal soleh.” 
                                                                                                 (Surah Fussilat 41: 33)

Orang yang berdakwah adalah orang yang terbaik.
Janganlah pula kita anggap ini lesen untuk berasa bangga dengan ‘kerjaya’ kita. Sentiasalah merendah diri dalam mengajak orang lain berkejar-kejaran menjadi yang terbaik di hadapan Allah, sebagaimana mereka sering berlumba-lumba menjadi seorang ‘lejen’ dalam permainan sukan, dalam menghiaskan diri dengan kejayaan, dalam berbangga-bangga sesama manusia, dan  dalam mengumpul kekayaan dan anak-keturunan – menjadi seorang ‘lejen’ di kehidupan bumi yang:
        “…hanyalah permainan dan sendagurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan…” 
                                                                                                (Surah Al-Hadid 57: 20)
Kehidupan kita di bumi sudah didefinasikan Allah SWT kurang daripada satu ayat – sebuah deskripsi kecil (namun padat) dalam sebuah naratif nan agung. 

Dan itulah yang kita kejar dan megahkan.
  
Kenapa tidak berkejar-kejaran untuk berdakwah?

Malangnya, kita dahulu sangka kerja dakwah ini milik orang lain. Macam fardu kifayah. Kerja dakwah ini kerja seorang ustaz. Ustaz yang sama dipanggil untuk mengimamkan solat jenazah, mengetuai bacaan tahlil dan dijemput untuk menyampaikan doa buat sebarang majlis. Ustaz ini bekerja di bawah sebuah institusi rasmi. Gajinya dibayar gaji rakyat. Ini kerjanya. Buat apa kita buat kerjanya? Kita tidak dibayar, bukan?
Sungguh meleset sangkaan diri kita yang terdahulu. Dalam erti kata lain, kita ‘sekularkan’ kehidupan lama kita dengan menyerahkan tugasan agama kepada individu/institusi lain. Dakwah antaranya.
Benar, bukan semua manusia akan dipilih oleh Allah S.W.T. untuk berdakwah. Namun itu bukan bermakna kerja dakwah ini terhad untuk sebilangan kecil manusia yang baik-baik belaka, yang selalu digelar ‘geng surau’, ‘budak baik’, ‘budak usrah’ dan sebagainya, macamlah kerja dakwah ini tanggungjawab sebuah kelab eksklusif yang cerewet dalam memilih ahlinya.
‘Kelab Da'ie’ bukanlah sebuah fraternity ala universiti-universiti Barat. Tidak ada ritual-ritual pelik yang perlu dilalui sebelum menjadi ahli. Hanya satu syarat yang diperlukan:
Keikhlasan.
Dan kita tidak akan ditanya fasal keikhlasan kita oleh ahli-ahli lain, kerana itu urusan kita dengan Allah S.W.T.
         Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya: " Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: - "Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya."
                                                                                            (Sahih Al-Bukhari)
Hadis klasik. Sebuah peringatan buat kita semua, tak kisahlah samada kita belum masuk, baru masuk atau sudah menjadi seorang veteran. Anggaplah sebarang peringatan ke arah kebaikan sebagai nafas kehidupan kita.
Memang kita harus menjadi baik dalam berdakwah, tetapi mestikah kita harus menunggu sehingga diri kita betul-betul menjadi baik sebelum berdakwah?
Tidak perlu hafaz sepuluh juzuk sebelum berdakwah. Tidak perlu perbetulkan bacaan Al-Quran sebelum berdakwah. Tidak perlu mahir dalam segala hukum fiqh sebelum berdakwah. Tidak perlu…
 Itu semua boleh dipelajari semasa bekerja. You’ll learn on the job. 

 Yang penting, kita ada kemahuan untuk belajar. Ada komitmen. Willpower.
Sekiranya kita ada tabiat-tabiat buruk yang sukar kita hendak tinggalkan, bersabarlah. Dan tabahlah. Kadang-kala, tabiat buruk itu ibarat tatu yang telah sebati dengan kulit akhlak kita. Memang sakit apabila buang. Kalau terlampau sakit, kita buang sedikit demi sedikit. Insya-Allah, segala usaha kita akan dipermudahkan.
Ingat, dalam proses mentarbiyyahkan diri, kita tidak keseorangan dalam membuang tatu-tatu jahiliah dari kulit akhlak kita. Ramai lagi. Dan ada antara mereka yang telah berjaya membuang sepenuhnya. Carilah mereka. Mintalah nasihat dan bantuan mereka. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
         “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
                                                                                             (Sahih Al-Bukhari)
Wangikanlah dirimu dengan wangian tarbiyyah!
Dan sebarkanlah kewangian ini, seperti seseorang yang mencalit minyak atar kesukaannya kepada kawan-kawan sekeliling.
Wallahu'alam.