Showing posts with label Pak Ngah Man. Show all posts
Showing posts with label Pak Ngah Man. Show all posts

Tuesday, 11 September 2012

Bulan Menangis. Tanah Meratap.


Di suatu malam yang sunyi, terdengar tangis esakan suatu suara yang halus. Panjang tangisnya. Mendayu suaranya. 

Tanah: Wahai bulan, apakah yang menyebabkan engkau menangis di tengah-tengah malam ini? Seperti anak kecil aku lihat. Khabarlah padaku.

Bulan: Wahai tanah, engkau tidak akan fahami diriku. Terletaknya aku di tengah-tengah langit. Hadirnya diriku di waktu malam. Sedangkan engkau ku dapati melekat dibumi. Engkau tidak akan faham tanah, tidak akan. 

Tanah: Apakah kerana kita tidak sejenis, engkau meragui persahabatan kita? Aku sudah mengenalmu bukan barang sehari dua. Kalkulator manusia juga belum tentu bisa menghitung perkenalan kita. Khabarkan sahaja padaku ceritamu. Mungkin-mungkin ada yang bisa aku tolongi.

Bulan: Saban malam aku muncul di langit manusia. Adakalanya sebentar. Adakalanya penuh semalaman. Ketahuilah wahai tanah, sahabatku, bahawa tiada malam yang aku lewati tanpa aku menyaksikan pendustaan manusia. 

Tanah: Pendustaan yang bagaimanakah maksudmu bulan?

Bulan: Aku masih ingat wahai tanah. Allah pencipta tubuhku pernah menawarkan diriku untuk menjadi khalifah atas muka bumi. Sungguh berat terasa olehku. Lalu aku menolak tawaran itu. Tidak berapa lama kemudian, aku dengar, makhluk yang bernama manusia menerima tawaran untuk menjadi khalifah. 

Tanah: Ya, aku tahu cerita itu. Aku sendiri pernah ditawarkan tanggungjawab yang sama. Ingat tak pada kisah sahabat kita sang gunung. Hampir-hampir sahaja dia menerima tanggungjawab itu. Kemudian dikhabar pula nasibnya yang akan hancur luluh sekiranya tanggungjawab itu didustai. 

Bulan: Aku lihat mereka yang bernama khalifah itu benar-benar seorang pendusta. Aku sendiri menyaksikan dari langit apa yang mereka perbuat saban malam. Maksiat, pembunuhan, penindasan golongan yang lemah, cinta dunia. Wahai tanah, andai aku sebut satu persatu, tentu sahaja engkau sendiri bosan dengan aku. Aku malu dengan Tuhanku tanah. Apakah yang akan aku persembahkan padaNya nanti bila aku ditanya sebagai saksi. Andai aku ini diberi pilihan, mahu sahaja aku memilih untuk menyorok. Biarlah aku ini tidak dikenali. Biarlah aku ini menjadi cerita-cerita mulut. Kerana tidak sanggup lagi aku untuk menjadi saksi perbuatan jijik manusia setiap kali malam menjelma wahai tanah.

Tanah: Andai itu sebab engkau menangis wahai bulan, ketahuilah bahawa akulah yang lebih menderita atas perbuatan manusia itu. Lihat sahajalah, mereka berzina atas tubuhku. Mereka membunuh bayi kecil, lalu ditanam dalam tubuhku. Mereka berjual-beli dengan cara yang hina atas tubuhku, mereka puasi cinta dunia mereka semuanya atas tubuhku wahai bulan. Bukankah aku yang lebih patut menangis berbanding engkau? Apakah yang harus aku jawab pada Tuhanku nanti?

Kedua-duanya menangis. Lebih sedu tangisnya. Lebih dalam ratapnya. Sedang manusia terus dan terus dengan dunia yang belum tentu dijamin esoknya. 



Tuesday, 31 July 2012

Latihlah Sementara Sempat

Lebih seminggu kita berada dalam Ramadhan. Dan hari-hari didalam Ramadhan pasti paling kurang, akan mengajar kita satu daripada seribu hikmah yang boleh kita manfaatkan untuk hari-hari yang akan datang.

Seperti itulah juga saya. Hari-hari bangun awal pagi sebelum subuh untuk bersahur. Memang tekad untuk tidak tinggalkan sahur kali ini. Takkan untuk makan yang sudah dijanjikan padanya barakah pun masih liat?

“Makan sahurlah kamu, kerana sesungguhnya dalam sahur itu terdapat keberkahan”. (muttafaqun alaih)

Sedar tak sedar, bangun sahur diawal pagi menjadi latihan buat umat Islam untuk bangun sebelum subuh. Kerana bangun diakhir malam itu mengandungi manfaat yang tidak dapat kita bayangkan.

Abu Hurairah menceritakan ketika beliau mendegar Rasulullah bersabda, “Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam Turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Allah berfirman: “Siapakah yang sedang berdoa kepada Aku supaya dapat Aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada Aku supaya Aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada Aku supaya dapat Aku ampuni dia ?” [HR Bukhari Muslim]

Ya, tersangatlah besar manfaat bila seorang hamba bangun diakhir malam itu. Masakan tidak, bila Allah sendiri memujuk hambanya untuk bangun. Walaupun sesedikit yang termampu.

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". [Surah Muzzammil: 1-4]

Tentu sahaja kita akan beralasan sukar untuk bangun bukan. Dari itu, Allah memberi ganjaran yang besar kepada hambanya yang bersahur didalam Ramadhan. Bukankah ia melatih seorang hamba untuk bangun awal?

Ramadhan boleh saja menjadi medan latihan buat kita. Asalkan kita bersedia untuk melatih diri. Datangnya Ramadhan bukanlah kebetulan. Tetapi ianya adalah hadiah buat seorang hamba yang Allah cintai. Tinggal sekarang, mahu tak kita letakkan diri sebagai hamba yang Allah cintai.

Seperti itulah Allah meletakkan pekerjaan sebagai pengembala kambing kepada Baginda Rasulullah saw sewaktu baginda masih muda. Adakah menjadi pengembala itu sesuatu yang kebetulan? Ataupun sesuatu perkara biasa? Saya tak rasa begitu (betulkan kalau salah). Baginda mengambil upah menjadi pengembala kambing bagi keluarga Bani Saad. Bukan di Mekah City Centre iaitu dekat dengan Kaabah. Tapi di suburb Mekah. Saya lihat Rasulullah sejak dari kecil dilatih untuk menjaga dan mengawal makhluk Allah yang hidup. Kambing. Adakalanya lari dari kumpulan. Adakalanya degil tidak mahu berjalan. Menjaga dan mengawal kambing tidak semudah hari ini. Ada kawasan yang dipagarinya.

Teringat saya pada suatu kisah. Ketika Umar menjadi Amirul Mukminin. Pada suatu hari, Utsman terlihat Umar berlari-lari ditengah padang pasir. Lalu Utsman bertanya sebab Umar berlari-lari itu. Umar menjawab, kerana unta zakat miliknya telah lari dari kawanannya. Kerana takutkan tanggungjawabnya ke atas unta zakat itu, maka Umar pun berlari-larilah mengejar dan mencari.

Unta dan kambing sama ke?

Tapi dua-dua makhluk yang hidup kan? Dua-dua binatang ternakan kan? Dua-dua hidup dalam suatu kumpulan kan? Dan mustahil ke kalau ada seekor yang lari dari kumpulan? Pernah tengok cerita Ahmad Albab tak ni?



Mak cik, nak mintak bubur sikit buat bukak pose boleh cik? Bau dia perghhh

Sambung cerita Nabi tadi. Kerana mengawal dan menjaga manusia itu tentulah lebih susah dan mencabar. Lalu Allah letakkan pekerjaan mengembala kambing itu sebagai medan latihan untuk Baginda saw.

Medan latihan dibuat bukanlah untuk kita menjadi penonton kepada latihan orang lain. Tetapi latihan buat kita sendiri. Istiqamahlah ikhwah dalam latihan Ramadhan ini. Semoga ia dapat membentuk kita untuk bersedia menghadapi sebelas bulan yang mendatang.

Mahukah kita jadikan kedatangan Ramadhan ini sebagai kebetulan? Sekali lagi? Seperti tahun-tahun sebelumnya?

Pak Ngah Man
Saya seorang hamba Ar-Rahman sepenuh masa. Sebahagian kecil masa , saya gunakan untuk belajar engineering.

Tuesday, 24 July 2012

Hijrah Ramadhan

Masihkah kita ingat, suatu senggang waktu yang dimuliakan Allah dalam setahun? Ramadhan namanya. Saban tahun kita tempuhi waktu ini.

Sejak kita sekecil kanak-kanak, dengan baju yang labuh besar, dengan pensel warna masih di tangan, berebut mainan dengan adik-beradik yang lain, waktu itu juga kita lalui Ramadhan. 

Kemudian, kita tempuhi alam persekolahan. Ada yang bersekolah di asrama. Ada yang tidak. Masing-masing punya pengalaman yang tersendiri. Masing-masing mencorak siapa kita hari ini. Ketika itu juga kita lalui Ramadhan.

Tahun berganti tahun. Dari kanak-kanak kita menjadi remaja. Kemudian melangkah alam dewasa. Menanti dihadapan ialah hari tua. Itupun sekiranya ajal belum mahu berjumpa. 

Apa makna Ramadhan sewaktu kita kanak-kanak? Mungkin sebagai countdown sebelum tiba hari raya. Mungkin itu waktu bermain bunga api atau mercun menunggu malam raya.

Sepanjang usia remaja, apakah Ramadhan itu bagi kita? Adakah suatu bulan dimana makanan yang dihidangkan di dewan makan sedap-sedap? Bazaar Ramadhan? Atau tempoh mencari baju raya? Ataupun mungkin itu waktu kita bersemangat menulis kad raya untuk kawan-kawan? Err ada lagi ke?

Ramadhan akan terus hadir. Setiap tahun. Selagi dunia masih belum sampai ke penghujungnya. Dan kita akan terus merasai Ramadhan itu selagi kita hidup didalamnya. Tetapi, apakah makna Ramadhan itu?

Seringkali kita dengar pahala dan ganjaran yang tidak putus-putus dan istimewa hanya dalam bulan ini. Seperti ayat al-Quran yang terbit dari lidah-lidah kita melalui janji Rasulullah:

"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah(Al-Quran), maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu akan digandakan menjadi sepuluh yang seumpamanya. Tidaklah aku mengatakan mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf , tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf"
(Riwayat At-Tarmizi )


Selanjutnya, puasa yang diwajibkan dalam bulan Ramadhan itu bukanlah sebagai beban, malah sebagai medan untuk top-up amal-amal yang kita lakukan sebelas bulan sebelumnya. Begitulah Allah hadiahi hamba-hambanya dengan penuh kasih dan cinta melalui firmannya didalam Hadis Qudsi: 

"Tiap-tiap perbuatan baik, pahalanya sepuluh kali hingga tujuh ratus kali ganda selain daripada puasa. Maka puasa itu adalah bagi-Ku dan Aku yang membalasinya"
(riwayat Al-Bukhari dan Muslim oleh Abu Hurairah)


Dan banyak lagi pahala dan ganjaran Allah berikan buat hamba-hambanya yang mencari. Kerana itulah, didalam bulan ini, ramai daripada kita berlumba-lumba memperbanyakkan amalan. Masing-masing berusaha dengan upaya yang ada. Dan, boleh saya teka, anda yang sedang baca artikel ini pun, berlumba-lumba juga kan? 

“Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat syaitan-syaitan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ya, istimewanya bulan ini, ibadat kita tidak lagi diganggu oleh syaitonirrojim. Beruntunglah orang-orang yang mengambil peluang ini. 

Dengan ganjaran yang tidak terbayang oleh akal kita tu, dan ditambah dengan ketiadaan musuh yang utama, mengapa tidak kita ambil peluang untuk mencari jalan berhijrah? 

Jahiliyah yang membelenggu kita paling rapuh dalam bulan ini. Dan ia akan menjadi kuat semula sesudah tamatnya Ramadhan. Manfaatkanlah masa yang tinggal ini. Sayonara Jahiliyah.



Ya, inilah masanya.

Pak Ngah Man
Saya seorang hamba Ar-Rahman sepenuh masa. Sebahagian kecil masa , saya gunakan untuk belajar engineering.