Wednesday 10 September 2014

TADABBUR ALAM: BURUNG



Haiwan itu bertenggek di situ. Kadang-kadang menggaru-garu badannya  yang lebat dengan bulu-bulu pelepah. Badannya anggun. Sangat sesuai dengan penciptaannya untuk terbang di langit. Kumpulan haiwan ini mempunyai banyak spesis- Enggang, Gagak, Rajawali, Belatuk, Helang dan Merpati. Burung, itulah dia. Sejenis haiwan yg diciptakan Allah untuk selalu berada di antara langit dan bumi.

"Dan tidaklah kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main"-(21:16)

Nah! Literally burung-burung ini selalu ada di dada langit. Bergerak ke sana ke mari dengan sayapnya sedangkan makhluk lain bersusah-payah mengesot-esotkan diri untuk bergerak. Terbang di udara. Hingga memberikan impian kepada manusia untuk menyertainya di udara. Maka muncullah lelaki- lelaki seperti Abbas Ibn Firnas dan Wright Brothers. Maka kini manusia mampu membelah udara terbang lebih tinggi dari sekawanan burung Artic Tern.

Namun adakah penciptaannya sia-sia? Tidak! Mustahil sekali sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat al-Quran tadi. Sudah tentu dan pasti, penciptaan mereka memberikan pengajaran kepada para duat di luar sana.

Cuba kita perhatikan. Perjalanan hidup mereka saban hari dan saban tahun. Ke mana sebenarnya mereka pergi? Di mana rumah mereka dan bagaimana pula mereka menjumpai makanan mereka hari itu?

Hidup mereka ini, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tinggal entah di mana. Bersarang entah di mana. Anak-anak burung yang menetas mencicit-cicit kelaparan. Sang burung pun meredah alam mencari makanan untuk dirinya dan keluarganya.

Bagaimana pula dengan duat? Adakah rumah mereka tiada? Adakah makan pagi dan makan malam mereka tidak terjaga? Apa lagi? Apa lagi urusan kita yg menyangkut kita dari bergerak menyampaikan firman-Nya? Apa lagi?

Sesungguhnya burung-burung di hadapan mata kita ini adalah tentera Allah. Sejak dari dahulu hinggalah hari ini, penghidupan mereka di hadapan mata kita para duat mengajarkan kita erti hidup sebagai jundullah. Siapakah yang diutus untuk mengajarkan Qabil supaya menanam saudaranya kalau bukan seekor burung gagak? Siapakah yang berusaha memadamkan api yang cuba membakar susuk tubuh Nabi Ibrahim kalau bukan tubuh kecil burung unai-unai? Bukankah burung-burung membentuk salah satu divisyen tentera udara Nabi Sulaiman? Bukankah burung Hud-hudlah yang mengintip kesyirikkan Ratu Balqis? Bukankah burung Ababil yang dikirim Allah untuk menghunjam batu sijjil?

Inilah identiti burung-burung ini. Mereka juga adalah Jundullah, sama juga dengan kita. Hidup mereka juga tinggal tak menentu, makan tak menentu keluarga tak menentu dan bermacam-macam lagi yang tak menentu. Namun mereka tetap tegar bersama Islam sejak dari zaman Nabi Adam lagi. Meyampaikan al-Haq hingga tiada lagi fitnah di bumi, dan agama itu hanya untuk Allah semata-mata. Makan dan minum mereka dijaga sendiri oleh Allah. Bukankah tawakkal itu ibarat burung yang keluar di pagi hari dengan perut yang kosong, kemudian pulang dengan perut yang cukup? Tunggu apa lagi wahai daie? Bukankah cukup Allah sahaja sebagai pencukupmu?
"Hasbunallah wanikmal wakeel,wa ni'mal mawla wani'mannasir"
Cukuplah Allah sebagai wakilku, dan cukuplah Allah sebagai pelindungku.

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu"(47:7)

Ayuh, mari beramal!

MENGHILANGKAN KETANDUSAN DALAM DIRI

ANTARA nikmat terbesar yang kita peroleh, dan insya-Allah masih memiliki, sekarang adalah nikmat Islam. Sekiranya anda membaca artikel ini, atau melayari blog Risalah Deenz, kemungkinan besar anda telahpun beragama Islam dan sedang beraspirasi untuk menyebarkannya. Anda ibarat peneroka yang telahpun terjumpa sebuah lembah nan subur, dan anda mahu menyeru mereka yang masih tercari-cari sebuah tanah subur untuk bersama-sama menetap bersamamu di lembah itu.
         
Sungguhpun kita sangka kita telah berada di lembah itu, adakah kita sedang mengusahakan tanah di situ dengan cemerlang? Adakah kita sedang bersikap acuh tidak acuh, dibebani kemalasan dan miskin dengan kerajinan? Tanah subur tidak akan membuahkan sebarang hasil tanaman langsung sekiranya tanah itu dibiarkan.
          
Hayatilah hadis di bawah tentang tiga jenis manusia yang diumpamakan dengan tiga jenis tanah:
          
Daripada Abu Musa (Al-Asy’ari) radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Perumpamaan apa yang aku diutus oleh Allah dengannya dari hidayah dan ilmu adalah bagaikan air hujan yang turun membasahi bumi (tanah), maka ada bahagian tanah yang subur yang menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak. Ada pula daripadanya tanah yang gersang yang menyimpan (menampung) air kemudian Allah menjadikannya manfaat bagi manusia. Maka mereka minum darinya, memberi minum haiwan ternak dan menanam. Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang, ia tidak menyimpan air dan tidak pula bisa menumbuhkan tumbuhan. Itulah perumpamaan orang yang memahami agama Allah lalu dia mengambil manfaat dari apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar dan mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepalanya (tidak menghiraukannya), dan tidak mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.” 
                                                                   (Hadis Riwayat Sahih Al-Bukhari)
          
Kesimpulannya, hidayah Allah diibaratkan seperti air hujan. Air yang sememangnya memberi manfaat sejagat. Namun, terzahirnya kemanfaatan air hujan itu bergantung kepada tanahnya. Kalau tanahnya subur, maka tumbuhlah tanaman. Kalau tanahnya gersang, air hujan akan disia-siakan sahaja.
          
Menurut hadis ini, ada tiga jenis tanah yang boleh diumpamakan dengan manusia:
1)   Tanah subur yang membuahkan tanaman
2)   Tanah gersang yang menampung air buat minuman manusia dan haiwan
3)   Tanah gersang yang langsung tidak memberi sebarang manfaat

Berdasarkan intipati hadis, ada dua golongan manusia yang diumpamakan dengan tanah-tanah yang disebutkan.

Pertama, golongan beriman yang fuqaha, atau mereka yang mempunyai kefahaman mendalam dengan agama Allah, boleh diibaratkan sebagai tanah subur. Kerana mereka, setelah menyerap hujan hidayah ke dalam sanubari mereka, terus membuahkan tumbuh-tumbuhan amal dan ilmu buat kebaikan sejagat. Sekiranya kita ingat akan ajaran sains, tumbuh-tumbuhan bukan sahaja memberi sumber makanan buat manusia, malah mereka juga membekalkan oksigen serta menadah air hujan agar adanya sungai-sungai yang memastikan tanah-pamah lain kekal subur. Manusia seperti tanah subur inilah yang bekerja keras agar pepohon Islam tetap ada agar ekosistem manusiawi terjaga sehingga ke hari ini. Tanpa mereka, tiadalah tanaman Islam, dan hancurlah bumi dengan kerosakan iklim jahiliah.

Berbeza pula dengan golongan manusia yang seperti tanah gersang. Air hujan tidak membasahkan jiwanya. Jiwanya tetap kering. Tiada pepohon Islam yang tumbuh. Yang ada hanyalah kegersangan yang menyusahkan mereka yang menetap di atasnya. Malah, hujan yang turun bertukar menjadi debu. Debu-debu inilah juga yang boleh merosakkan ekosistem umat, dan juga membunuh tanaman-tanaman lain yang dilemaskan ribut debu itu. Manusia seperti tanah tandus ini dikecam Allah swt sebagai orang:

yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran.
                                                           (Surah Al-Hajj, ayat 53)
Yang menariknya, golongan kedua, iaitu golongan manusia yang ibarat tanah gersang yang bermanfaat, tidak diceritakan secara terperinci. Ada pendapat mengatakan bahawa mereka ini perawi-perawi hadis yang menerima dan meriwayatkan ilmu mereka tanpa menjelaskan lebih lanjut tentang ilmu mereka. Orang lain menerima manfaat daripada riwayat-riwayat hadis mereka, namun mereka sendiri tidak berkembang secara rohani.

Boleh dikatakan juga, golongan kedua ini seperti penyokong-penyokong dakwah Islam. Walaupun mereka tidak berdakwah, merekalah yang memberi sokongan kepada golongan pertama. Hujan hidayah yang turun tidak dibazirkan oleh mereka, tetapi juga dimanfaatkan sepenuhnya. Mereka sekadar menakung air yang ada untuk kegunaan orang lain, yakni mereka tidak menghalang kerja dakwah. Namun mereka kekal gersang. Mengapa? Kerana Islam, sekiranya mereka memahami, menuntut kita untuk bukan sahaja menjadi pasif menerima ilmu. Tidak cukuplah jikalau kita sekadar menerima namun tidak mengalirkannya. Siapa lagi yang harus menyebarkannya sekiranya bukan kita? Seperti yang difirman Allah swt:

“Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal soleh"
   (Surah Fussilat, ayat 33)
          
Maka jelaslah golongan mana yang lebih baik.
          
Kita mempunyai pilihan untuk menjadi salah satu daripada tanah yang dinyatakan di atas.
          
Pilihan terbaik sangatlah jelas.

Pilihlah dengan bijaksana.

Tuesday 3 June 2014

DA'IE: KERJAYA TERBAIK DI DUNIA

PERTAMA sekali, reality check: kita bukanlah malaikat. Tidak sempurna. Dalam diri kita ada nafsu yang menjadi pendamping setia kita ke mana-mana kita pergi, walaupun kehadirannya tidaklah diidamkan. Dan ilmu kita tidaklah setinggi ilmu para ulama’ dahulu dan sekarang. Lagipun kita bukanlah pakar bahasa yang mampu menyusun kata-kata seindah nukilan As-Syahid Syed Qutb mahupun Sheikh Muhammad Ahmad ar-Rasyid. Kepetahan pidato kita tidaklah sehebat mana – jauh lebih hebat As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, dan jauh sekali Nabi Harun A.S. 
Kita ada kelemahan. Malah, dalam kalangan manusia sejemaah juga, sering kita rasa diri kita bagaikan sebuah lembah yang dikelilingi gunung-ganang.
Namun, ingatlah, lembah yang rendah itu boleh dikerjakan dan membuahkan hasil tanaman.
Selemah-lemah kita, serendah-rendah kita fikirkan terhadap diri kita, sehingga merasai inferiority complex, ketahuilah satu perkara: kerja tetap kena jalan.
Apa kerjanya? 

Dakwah.

Menjadi seorang da'ie.
Kerjaya terbaik di di dunia.

          “Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal soleh.” 
                                                                                                 (Surah Fussilat 41: 33)

Orang yang berdakwah adalah orang yang terbaik.
Janganlah pula kita anggap ini lesen untuk berasa bangga dengan ‘kerjaya’ kita. Sentiasalah merendah diri dalam mengajak orang lain berkejar-kejaran menjadi yang terbaik di hadapan Allah, sebagaimana mereka sering berlumba-lumba menjadi seorang ‘lejen’ dalam permainan sukan, dalam menghiaskan diri dengan kejayaan, dalam berbangga-bangga sesama manusia, dan  dalam mengumpul kekayaan dan anak-keturunan – menjadi seorang ‘lejen’ di kehidupan bumi yang:
        “…hanyalah permainan dan sendagurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan…” 
                                                                                                (Surah Al-Hadid 57: 20)
Kehidupan kita di bumi sudah didefinasikan Allah SWT kurang daripada satu ayat – sebuah deskripsi kecil (namun padat) dalam sebuah naratif nan agung. 

Dan itulah yang kita kejar dan megahkan.
  
Kenapa tidak berkejar-kejaran untuk berdakwah?

Malangnya, kita dahulu sangka kerja dakwah ini milik orang lain. Macam fardu kifayah. Kerja dakwah ini kerja seorang ustaz. Ustaz yang sama dipanggil untuk mengimamkan solat jenazah, mengetuai bacaan tahlil dan dijemput untuk menyampaikan doa buat sebarang majlis. Ustaz ini bekerja di bawah sebuah institusi rasmi. Gajinya dibayar gaji rakyat. Ini kerjanya. Buat apa kita buat kerjanya? Kita tidak dibayar, bukan?
Sungguh meleset sangkaan diri kita yang terdahulu. Dalam erti kata lain, kita ‘sekularkan’ kehidupan lama kita dengan menyerahkan tugasan agama kepada individu/institusi lain. Dakwah antaranya.
Benar, bukan semua manusia akan dipilih oleh Allah S.W.T. untuk berdakwah. Namun itu bukan bermakna kerja dakwah ini terhad untuk sebilangan kecil manusia yang baik-baik belaka, yang selalu digelar ‘geng surau’, ‘budak baik’, ‘budak usrah’ dan sebagainya, macamlah kerja dakwah ini tanggungjawab sebuah kelab eksklusif yang cerewet dalam memilih ahlinya.
‘Kelab Da'ie’ bukanlah sebuah fraternity ala universiti-universiti Barat. Tidak ada ritual-ritual pelik yang perlu dilalui sebelum menjadi ahli. Hanya satu syarat yang diperlukan:
Keikhlasan.
Dan kita tidak akan ditanya fasal keikhlasan kita oleh ahli-ahli lain, kerana itu urusan kita dengan Allah S.W.T.
         Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya: " Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: - "Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya."
                                                                                            (Sahih Al-Bukhari)
Hadis klasik. Sebuah peringatan buat kita semua, tak kisahlah samada kita belum masuk, baru masuk atau sudah menjadi seorang veteran. Anggaplah sebarang peringatan ke arah kebaikan sebagai nafas kehidupan kita.
Memang kita harus menjadi baik dalam berdakwah, tetapi mestikah kita harus menunggu sehingga diri kita betul-betul menjadi baik sebelum berdakwah?
Tidak perlu hafaz sepuluh juzuk sebelum berdakwah. Tidak perlu perbetulkan bacaan Al-Quran sebelum berdakwah. Tidak perlu mahir dalam segala hukum fiqh sebelum berdakwah. Tidak perlu…
 Itu semua boleh dipelajari semasa bekerja. You’ll learn on the job. 

 Yang penting, kita ada kemahuan untuk belajar. Ada komitmen. Willpower.
Sekiranya kita ada tabiat-tabiat buruk yang sukar kita hendak tinggalkan, bersabarlah. Dan tabahlah. Kadang-kala, tabiat buruk itu ibarat tatu yang telah sebati dengan kulit akhlak kita. Memang sakit apabila buang. Kalau terlampau sakit, kita buang sedikit demi sedikit. Insya-Allah, segala usaha kita akan dipermudahkan.
Ingat, dalam proses mentarbiyyahkan diri, kita tidak keseorangan dalam membuang tatu-tatu jahiliah dari kulit akhlak kita. Ramai lagi. Dan ada antara mereka yang telah berjaya membuang sepenuhnya. Carilah mereka. Mintalah nasihat dan bantuan mereka. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
         “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
                                                                                             (Sahih Al-Bukhari)
Wangikanlah dirimu dengan wangian tarbiyyah!
Dan sebarkanlah kewangian ini, seperti seseorang yang mencalit minyak atar kesukaannya kepada kawan-kawan sekeliling.
Wallahu'alam.