Assalamualaikum wbt.
Sebagai seorang muslim yang praktikal, kita sewajarnya ingat kepada Allah setiap masa, justeru ianya dizahirkan melalui ibadah zikir dan doa. Juga kita laksanakan sebagai memenuhi perintah Allah agar sentiasa berada dalam ibadah kepada Allah dalam setiap pekerjaan yang kita kerjakan (QS 51:56). Dalam mengingati Allah, wajarlah kita mencontohi Rasulullah SAW, dan oleh itu kita mengamalkan zikir dan doa yang ma'thur (baca:yang diwarisi). Melalui doa dan zikir "al-ma'thurat" susunan Imam Hassan Al-Banna, amalan ini dipermudahkan untuk kita mengikutinya.
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا [٣٣:٢١
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (QS 33:21)
وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah), ingatlah dan sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. (QS 33:41-42)
Selain ayat-ayat al-Quran yang menyarankan kita agar berzikir dan berdoa, juga terdapat hadis-hadis yang menceritakan kelebihan berzikir. Rasulullah SAW dalam satu hadis Qudsi menyatakan bahawa Allah telah berfirman:
Maksudnya: "Aku adalah mengikut apa yang disangka oleh hambaku. Apabila dia mengingatiku, maka aku akan bersamanya. Jika dia mengingatiku di dalam dirinya, maka aku akan mengingatinya di dalam diriku. Dan jika dia mengingatiku di dalam kelompok/kumpulan, maka aku akan mengingatinya di dalam kelompok yang jauh lebih baik daripada mereka" (Muttafaq 'alaih)
Ketahuinya saudaraku bahawa yang dimaksudkan dengan zikir itu tidak hanya dengan perkataan semata-mata, akan tetapi taubat itu juga dikira zikir, begitu juga tafakkur. Menuntut ilmu juga adalah zikir, mencari rezeki juga, jika ianya diniatkan dengan baik, juga dikira zikir. Pendek kata, setiap tindak-tanduk kita jika diiringi dengan perasaan muraqabah Allah (baca:watch over/keep an eye), maka itu adalah zikir, dan zikir pula adalah ibadah. Itulah sebabnya mengapa orang yang benar-benar kenal Tuhannya akan sentiasa mengingatinya.
Seterusnya, dalam sebuah hadis, disunatkan berhimpun untuk tujuan berzikir, diriwayatkan oleh Muslim:
Maksudnya: "Tidak duduk satu kaum mengingati Allah yang Maha Tinggi lagi Agung melainkan para Malaikat akan mengelilingi mereka, melimpahkan ke atas mereka rahmah, menurunkan ke atas mereka ketenangan dan Allah akan menyebut-nyebut mereka kepada makhluk yang ada disisinya."
Berjemaah dalam melakukan ketaatan adalah sunat, apatah lagi jika perbuatan tersebut mendatangkan faedah yang banyak antaranya mempertautkan hati-hati, menguatkan ikatan, menghabiskan masa dengan perkara yang bermanfaat, mengajar orang yang belum tahu disamping menzahirkan salah satu daripada syariat Allah.
Tidak dinafikan bahawa berjemaah dalam berzikir boleh menjadi berdosa jika ia membawa kepada perkara-perkara yang dilarang oleh syara' seperti menganggu orang yang sedang bersolat, menyebabkan berlakunya perkara yang lagho dan gelak ketawa. Justeru, alangkah baiknya jikalau para ikhwanul muslimin sekalian dapat berkumpul pada waktu pagi dan petang untuk membacanya dimana-mana sahaja anda berada, termasuklah dirumah atau dimasjid/surau.
Allah Subhanahu waTa’ala berfirman:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah “. Ketahuilah dengan “zikrullah ” itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah Ar-Ra’d: Ayat 28)
Kita memohon kepada Allah agar kita semua diberi taufiq dan hidayah. Dan kita juga berdoa semoga mereka tidak melupakan kita dalam doa-doa mereka sama ada yang dilakukan secara terang mahupun tersembunyi.
Wallahu'alam.
Sumber: Imam Hassan Al-Banna (dalam Al-Ma'thurat dan Kelebihannya terbitan Pustaka Iman).
No comments:
Post a Comment