Wednesday, 10 September 2014

TADABBUR ALAM: BURUNG



Haiwan itu bertenggek di situ. Kadang-kadang menggaru-garu badannya  yang lebat dengan bulu-bulu pelepah. Badannya anggun. Sangat sesuai dengan penciptaannya untuk terbang di langit. Kumpulan haiwan ini mempunyai banyak spesis- Enggang, Gagak, Rajawali, Belatuk, Helang dan Merpati. Burung, itulah dia. Sejenis haiwan yg diciptakan Allah untuk selalu berada di antara langit dan bumi.

"Dan tidaklah kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main"-(21:16)

Nah! Literally burung-burung ini selalu ada di dada langit. Bergerak ke sana ke mari dengan sayapnya sedangkan makhluk lain bersusah-payah mengesot-esotkan diri untuk bergerak. Terbang di udara. Hingga memberikan impian kepada manusia untuk menyertainya di udara. Maka muncullah lelaki- lelaki seperti Abbas Ibn Firnas dan Wright Brothers. Maka kini manusia mampu membelah udara terbang lebih tinggi dari sekawanan burung Artic Tern.

Namun adakah penciptaannya sia-sia? Tidak! Mustahil sekali sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat al-Quran tadi. Sudah tentu dan pasti, penciptaan mereka memberikan pengajaran kepada para duat di luar sana.

Cuba kita perhatikan. Perjalanan hidup mereka saban hari dan saban tahun. Ke mana sebenarnya mereka pergi? Di mana rumah mereka dan bagaimana pula mereka menjumpai makanan mereka hari itu?

Hidup mereka ini, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tinggal entah di mana. Bersarang entah di mana. Anak-anak burung yang menetas mencicit-cicit kelaparan. Sang burung pun meredah alam mencari makanan untuk dirinya dan keluarganya.

Bagaimana pula dengan duat? Adakah rumah mereka tiada? Adakah makan pagi dan makan malam mereka tidak terjaga? Apa lagi? Apa lagi urusan kita yg menyangkut kita dari bergerak menyampaikan firman-Nya? Apa lagi?

Sesungguhnya burung-burung di hadapan mata kita ini adalah tentera Allah. Sejak dari dahulu hinggalah hari ini, penghidupan mereka di hadapan mata kita para duat mengajarkan kita erti hidup sebagai jundullah. Siapakah yang diutus untuk mengajarkan Qabil supaya menanam saudaranya kalau bukan seekor burung gagak? Siapakah yang berusaha memadamkan api yang cuba membakar susuk tubuh Nabi Ibrahim kalau bukan tubuh kecil burung unai-unai? Bukankah burung-burung membentuk salah satu divisyen tentera udara Nabi Sulaiman? Bukankah burung Hud-hudlah yang mengintip kesyirikkan Ratu Balqis? Bukankah burung Ababil yang dikirim Allah untuk menghunjam batu sijjil?

Inilah identiti burung-burung ini. Mereka juga adalah Jundullah, sama juga dengan kita. Hidup mereka juga tinggal tak menentu, makan tak menentu keluarga tak menentu dan bermacam-macam lagi yang tak menentu. Namun mereka tetap tegar bersama Islam sejak dari zaman Nabi Adam lagi. Meyampaikan al-Haq hingga tiada lagi fitnah di bumi, dan agama itu hanya untuk Allah semata-mata. Makan dan minum mereka dijaga sendiri oleh Allah. Bukankah tawakkal itu ibarat burung yang keluar di pagi hari dengan perut yang kosong, kemudian pulang dengan perut yang cukup? Tunggu apa lagi wahai daie? Bukankah cukup Allah sahaja sebagai pencukupmu?
"Hasbunallah wanikmal wakeel,wa ni'mal mawla wani'mannasir"
Cukuplah Allah sebagai wakilku, dan cukuplah Allah sebagai pelindungku.

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu"(47:7)

Ayuh, mari beramal!

No comments:

Post a Comment