Anugerah
Cahaya gilang-gemilang!
Hari anugerah itu telah tiba, dan beberapa detik lagi penantian yang lama terhadap sebuah eknolejmen daripada masyarakat dunia membuatkan hadirin bingkas mengambil tempat duduk. Peserta atau sebetulnya calon-calon anugerah saling bertukar pandangan: sama ada harapan atau iri.
Pembaca anugerah menghampiri podium dengan sebuah trofi, bilasan-bilasan cahaya yang direfleksikan permukaan kristal ialah seperti kilauan jingga pada horizon sebuah petang di pantai Hawaii.
Cahaya gilang-gemilang!
Hari anugerah itu telah tiba, dan beberapa detik lagi penantian yang lama terhadap sebuah eknolejmen daripada masyarakat dunia membuatkan hadirin bingkas mengambil tempat duduk. Peserta atau sebetulnya calon-calon anugerah saling bertukar pandangan: sama ada harapan atau iri.
Pembaca anugerah menghampiri podium dengan sebuah trofi, bilasan-bilasan cahaya yang direfleksikan permukaan kristal ialah seperti kilauan jingga pada horizon sebuah petang di pantai Hawaii.
Lampu sorot yang berkeliaran pada lelangit sebuah auditorium mega besarnya, kini melintas tepat di atas kepala anda. Dan anda serasa dilahirkan semula. Debar di dalam dada tidak dapat ditahan lagi, kini masa anda untuk menyinar dengan lebih bertenaga, jauh lebih bersinar daripada lampu sorot tersebut.
Pembaca anugerah mengetuk mikrofon secara halus.
Hadirin menghela nafas.
Sunyi beberapa jeda.
Suspens.
Anugerah ialah nikmat. Sebetulnya, anugerah ialah subset kepada nikmat, kerana biarpun pencirian kedua-dua perkara ini lebih kurang sama, anugerah pada mata seorang hamba ialah lebih daripada sekadar lemang dan rendang, wajik dan dodol yang tersadai tidak bermaya di atas meja hidangan rumah kelima yang anda hadiri untuk hari raya kedua itu.
Untuk sesuatu nikmat dikualifikasikan sebagai anugerah, ia perlu hadir di atas dulang emas bertatah berlian, dimumkan oleh seorang pengerusi dengan iringan drum yang dub-dab-dub-dab itu, atau setidak-tidaknya dicatat pada muka hadapan sebuah akhbar tabloid pada keesokan harinya.
Anugerah juga ialah penghormatan berdiri audiens setelah siap persembahan, dan sesudah itu ia hadir dalam laungan ‘We want encore!’ yang diulang-ulang memecah kesunyian malam. Bingung anda memikirkannya, dalam kehabisan tenaga dan lelehan air mata rasa dihargai, anda tetap bangun dan kembali mempersembahkan diri anda di pentas dunia.
Eknolejmen.
Itulah pelengkap sebuah persamaan linear. Di mana sesuatu nikmat itu mendapat eknolejmen, di situlah ia bertukar menjadi anugerah.
Pengerusi tersenyum, dan senyumannya itu membanjir ke seluruh audiens. Ada beberapa soksek-soksek yang berjaya ditangkap telinga anda. Khabarnya, anda akan memenangi anugerah tersebut!
Sekali lagi khali.
“Pemenangnya ialah ‘Bukan-Anda’! Tepukan gemuruh!!!”
Anda mengurut dada sendiri, tidak mempercayai. Begitulah suara tersebut hampir-hampir sahaja mencarik-carik pembuluh jantung anda.
Suatu hakikat yang sukar ditelan seorang muslim lewat melalui hari-hari syawalnya ialah pernyataan klise “Ramadan sudah meninggalkan kita”. Klise kerana sifatnya yang selalu diulang-ulang semasa khutbah raya.
Sukar ditelan kerana Ramadan ialah suatu kerehatan untuk hamba Tuhan yang Maha Pemurah, lantas ‘ditarik balik’ dengan kehadiran hari raya. Ramadan dibekalkan dengan pernyataan kasih dan ibarat minuman tenaga yang mengarah kepada produktiviti luar biasa. Ramadan ialah ‘pentas’ seorang hamba. Tempat untuk ia menguji kefasihan imannya. Hanya dengan kefasihan iman mengeja keyukuran terhadap Tuhannya sahaja, seseorang hamba itu dapat membuahkan persembahan yang benar-benar memukau.
Dan apabila hamba itu kembali menuruni pentas tersebut, hatinya masih dihinggapi getaran perasaan yang kuat, kemudian lama-kelamaan menjadi melankolik. Persembahannya diterima baik dan disuguhkan sebuah encore.
Hamba itu mendapat eknolejmen.
Ada sebuah parallelisme antara konsep eknolejmen dengan kefahaman kita terhadap Ramadan dan syawal. Sehabisnya sebuah persembahan (atau sebenarnya penyembahan) terhadap Allah Rabbul Alamin di kala Ramadan, kita menangisinya bersungguh-sungguh. Mirip seorang artisan yang menangisi kejayaannya memukau para hadirin. Setelah itu, kita menerima puluhan anugerah dan hadiah atas kesaksian sebuah persembahan yang menyentap kalbu lewat sebuah syawal.
Tetapi di situlah berakhirnya parallelisme tersebut. Lihat ayat 185, surah sapi:
“…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (2: 185).
Kerana eknolejmen seorang muslim hadir jauh setelah berakhirnya sebuah Ramadan dan syawal. Ia bukan sekadar menerima dengan tangan terbuka dan senyuman kambing yang disengajakan dia hadapan kamera video.
Eknolejmen seorang muslim daripada Tuhannya menjadikannya seperti cermin, memantulkan kembali kesyukurannya kepada yang Esa. Malah boleh jadi ia bertukar kepada ketulan Kristal yang apabila cahaya eknolejmen itu melimpahinya, ia lantas menyerakkan cahaya tersebut untuk dinikmati masyarakat umum.
Muslim itu mengetahui di sudut hatinya, nikmat yang datang kepadanya semuanya ialah anugerah dengan eknolejmen penuh Tuhannya yang sedia tercatat di Lauh Mahfuz. Baik kuih tat nanas, almond London, ataupun ayam masak merah. Itulah anugerah.
Baik secangkir senyuman pak-pak Arab yang datang merangkul kita sambil mengucapkan ‘Eid Mubarak!’. Ataupun kesedihan perpisahan jasad dengan keluarga tercinta di sebuah negeri yang jauh ditukar dengan kegembiraan bersakan dengan rakan-rakan di luar negara. Semua itu ialah anugerah.
Kerana itulah ia bertakbir dengan penuh semangat. Kerana itulah ia tidak merasa terbeban untuk memasakkan kambing panggang untuk santapan tetamunya (yum-yum-yum). Kerana itulah syukurnya semakin meninggi dan menebal. Ia merasa seperti individu lain, individu yang dilimpahi cahaya.
“Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir." (Imam Tabrani r.a.)
Kerana itulah semakin ia melalui hari-hari syawalnya, semakin ia percaya kelakuannya yang sudah sedikit berubah untuk kebaikan ialah hasil doa termakbul. Termakbul kerana diaminkan ketika langit telah pecah berkeping-keping dengan pahala yang melemaskannya dalam khusyuk sebuah tahajud.
Dia percaya, eknolejmen terbesarnya pada tahun itu dari Tuhannya ialah malam yang pekat pahala itu.
Lailatul Qadar.
Tidak percaya.
Seluruh auditorium terpecah menjadi dua bahagian. Satu sudut (juga majoriti daripada audiens) bersorak terhadap pemenang anugerah bernama Bukan-Anda itu. Mereka bertepuk tangan macam nak rak, langsung memberi penghormatan berdiri. Satu bahagian lagi menjadi was-was, tidak percaya, tetapi demi menghormati majlis turut bangkit dan melakukan aplaus.
Tetapi anda, ya anda, keseorangan menahan sedih dan kecewa. Umum mengetahui ini ialah kali terakhir anda akan berpeluang untuk menerima anugerah tersebut. Tiada lagi masa hadapan untuk kembali menyarung pakaian gilang-gemilang itu dan kembali membuat persembahan memukau.
Inilah kematian anda. Tidak, inilah kehinaan anda.
Dalam kesedihan yang tidak terempang lagi itulah, hadir sebuah watak yang tidak dikenali. Ia mendekati podium sebelum sempat Bukan-Anda membuat ucapan penghargaan, ia merampas mikrofon langsung berkata-kata:
“Saya tetap percaya Anda ialah pemenang sebenar anugerah ini” ia memulakan.
Anda mengangkat muka untuk melihat orang tersebut, namun sebliknya pada tayangan slaid terpampang perkara yang membuatkan anda lebih bersyukur. Bersyukur kerana sempat berdoa pada malam dengan langit pahala terpecah-pecah. Air mata mengalir dengan derasnya.
“Dari Abdullah bin Amru r.a., bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Puasa dan Al-Quran itu memintakan syafaat bagi seseorang hamba di hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah mencegah dia memakan makanan dan menyalurkan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya.”
Dan berkata pula al-Quran: “Wahai Rabbku aku telah mencegah dia tidur di malam hari (kerana membacaku), maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Maka keduanya diberi hak untuk memintakan syafaat”. (HR Ahmad)
Inilah anugerah!
(p/s: maaf kerana menggunakan imejan-imejan yang agak pelik. Konten didahului, teknik dicapati. Selamat Hari Raya)
Blogger Jalan Simon
Blogger yang rayanya berjalan-jalan. Muslimnya sepanjang jalan