Sunday, 5 August 2012

Arakian, pada zaman dinasour dahulu kala......

Semua theropoda, sauropodomorfa, dan ornithischia perlu berasa bimbang. Sejarah hidup keluarga dinosaurian kini akan diracik-racik sehingga ke tulang dan fossil. Budaya, habitat, pemakanan, tingkat intelektual, cara pakai baju, cara gosok gigi, cara basuh berak, dan segala-galanya mengenai kehidupan mereka akan dikaji secara ekstensif oleh muslim generasi y yang selalu mempersoalkan banyak perkara.



Dan semuanya bermula daripada firman Allah taala dalam Surah Sapi ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (2;183)

Benar, membandingkan dinasour dengan ‘orang sebelum kamu’ ialah perbandingan yang tidak adil kerana, well, dah namapun bukan manusia. Dan kedua, walaupun haiwan berkuku dan bergigi tajam ini wujud sebagai satu metamorfosis islam ijbariyah, agak sukar untuk menanggapi ‘bukan manusia’ sebagai pemegang amanah Allah di muka bumi, lantas berkemampuan untuk berpuasa seperti yang diberitahu ayat di atas.


*****

Agak menakjubkan. Terkenang dahulu kala, ketika zaman kanak-kanak yang masih hingusan dan mudah panik dengan linear algebra, para asatizah menyebutkan bahawasanya puasa itu dilaksanakan - salah satu daripada matlamatnya - ialah untuk merasai kedaifan dan kepapaan al-masakin dan fakir yang bertebaran di muka bumi. Menjadi lapar ialah solidariti untuk golongan yang tidak mampu untuk membawa apa-apapun, baik beberapa ketul kurma (apatah lagi ayam CFC!) ke atas meja untuk dijamukan kepada ahli keluarga.

Demikianlah bermulanya ibadah puasa kita dahulu, dengan pemahaman bahasanya berlaparan dan berdahaga sepanjang hari ialah perjuangan perut untuk mendekati golongan yang terkebelakang dari pungutan harta. Ermmmm….

Tidaklah saya ingin menafikan perkara ini. Tapi….

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (2;183)

Kalaulah benarlah puasa itu sekadar untuk memahami perasaan dan perjuangan golongan miskin, sudah pasti ayat di atas akan berbunyi lain, mungkin ada emfasis terhadap golongan miskin dan fakir, berbanding sekadar ‘orang sebelum kamu’. Benar sejarah telah membuktikan kebanyakan mereka yang berserah diri kepada Allah dahulu dengan wasilah berpuasa ialah manusia sama yang tidak mampu untuk mengisi perut sendiri untuk beberapa hari dan bulan.

Lihat sahaja kelibat Nabi Muhammad s.a.w, susuk tubuh yang kita agungi itu. Ketika peserta perang Khandak dalam barisan muslimin lain mengikat satu batu di perut mereka untuk menggali parit, tanpa disedari Rasulullah s.a.w sendiri telah mengikat dua batu, hanya kerana berlaparan!!!

Tetapi renungan yang saya khususkan di sini ialah betapa puasa merupakan satu ibadah yang bertahan the test of time, tidak eksklusif kepada umat Muhammad s.a.w sahaja bahkan ianya telah dilaksanakan sejak zaman Nabi Musa a.s lagi oleh masyarakat Yahudi. Apatah lagi sekarang ini, kita melihat hampir semua agama terbesar dunia juga pada satu masa atau lainnya menggalakkan/mewajibkan umatnya untuk berpuasa.

Ibadah berpuasa telah bertahan sepanjang zaman-zaman ini - biarpun mengalami pelbagai perubahan syariat dalam pelaksanaannya - kerana ia masih bertahan dalam aspek tujuan dan misi yang ingin dicapai. Yalah, hanya ada beberapa tujuan untuk seseorang menahan diri daripada menikmati makanan kegemaran ketika cuaca panas dan perut sudah mengaum; kalau tidak kerana menghidap bulimia ataupun kerana elaun belum masuk, sudah pasti berpuasa seseorang itu adalah untuk memenuhi tuntutan kuasa autoriti Tuhan dalam agamanya.

Dan Islam tidak jauh bezanya, masakan lebih hebat.


*****

Hasil daripada renungan terhadap ayat tersebut, berpuasa membolehkan kita untuk time travel, membelah ruang maya dengan minda penuh-sedar untuk tiba di bumi yang ter’kebelakang’ itu. Kita langsung tercengang, menggaru-garu kepala yang tidak gatal (nak gatal macam mana kalau pencemaran udara tidak lagi rancak ketika itu) menanya diri sendiri; bagaimanakah observasi terhadap puasa dapat dilaksanakan di bumi yang terlalu asing?

Tiada peneduh untuk menghalang pancaran matahari yang meninggalkan pijar-pijar merah di kulit. Tiada kenderaan bermotor untuk mengangkut kita ke sesuatu tempat dengan efektifnya. Tiada majlis iftar dengan setalam nasi bryani bersama enam ketul ayam dan tiada juga petugas untuk menjerit “More rice brother!”. Malah kurma di dalam tangan untuk bersahur pada paginya perlu dikerat kecil-kecil untuk bertahan selama 30 hari itu. Tiada bekalan air bersih, tiada sejadah khusus untuk tahajud, tanah pasir yang poros pula menjadi terlalu sejuk pada malamnya untuk bertarawikh.

Demikianlah Allah mengajar kita menerusi ayat 2;183 tersebut untuk kembali kepada state-of-mind yang tradisionalis dan konvensional (dan saya tidak maksudkan jumud) dalam melalui ibadah puasa. Kerana puasa telah dilaksanakan umat terdahulu, dalam segala ketidakcukupan mereka, begitulah kita di zaman ini perlu mengambil pendekatan anti-moden, anti-materialisme dalam menghadapinya jua. Pentingnya untuk kita, bukan sekadar berlapar dan dahaga, malah untuk meletakkan belenggu-belenggu daripada bersifat neo yang menyebabkan kita terkejar-kejar kehidupan dunia dengan lambakan nafsunya.

Perjalanan merentas masa ini melatih kita untuk menahan diri daripada tenggelam sama dalam arus kehidupan yang pantas dan melemaskan. Begitulah puasa, apabila Tuhan berasa sedekat ini, tiada lagi keinginan-keinginan rendah yang bersifat sementara:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat…” (2;186)

Kerana latihan-latihan ini, seperti yang dilalui orang-orang terdahulu, merupakan latihan takwa. Dan takwa tidak datang mudah. Sudah beberapa banyak manusia yang berpuasa sepanjang rentas masa hidup beragama ini yang tewas; hanya kerana memasuki lubuk emas, namun keluar bangga dengan mengendong besi-besi berkarat?


*****

Saya tidak menyalahkan modenisasi. Dan memang agak janggal untuk sekadar memakai cawat di tengah-tengah masyarakat urban (tidak termasuk anda akan berasa kesejukan dan tidak menutup aurat!).

Yang sepatutnya merentas masa dan menguji tahap takwanya ialah hati dan akal seseorang manusia itu. Kedua-dua kekuatan inilah yang perlu digunakan untuk melibas pedang dan mengacah tombak kepada tyrannosaurus rex yang datang berkucuran air liur bersedia membaham anda.

Dan kali ini anda perlu benar-benar berharap kata-kata “Inni Soim” (sesungguhnya aku berpuasa) dapat menghindarkan bahaya yang meluru ke arah anda itu.

Kerana sesungguhnya ia tidak pula berpuasa.

Blogger Jalan Simon
Blogger yang berjalan-jalan, tetapi muslim sepanjang jalan

1 comment: