Tuesday, 11 September 2012

Bulan Menangis. Tanah Meratap.


Di suatu malam yang sunyi, terdengar tangis esakan suatu suara yang halus. Panjang tangisnya. Mendayu suaranya. 

Tanah: Wahai bulan, apakah yang menyebabkan engkau menangis di tengah-tengah malam ini? Seperti anak kecil aku lihat. Khabarlah padaku.

Bulan: Wahai tanah, engkau tidak akan fahami diriku. Terletaknya aku di tengah-tengah langit. Hadirnya diriku di waktu malam. Sedangkan engkau ku dapati melekat dibumi. Engkau tidak akan faham tanah, tidak akan. 

Tanah: Apakah kerana kita tidak sejenis, engkau meragui persahabatan kita? Aku sudah mengenalmu bukan barang sehari dua. Kalkulator manusia juga belum tentu bisa menghitung perkenalan kita. Khabarkan sahaja padaku ceritamu. Mungkin-mungkin ada yang bisa aku tolongi.

Bulan: Saban malam aku muncul di langit manusia. Adakalanya sebentar. Adakalanya penuh semalaman. Ketahuilah wahai tanah, sahabatku, bahawa tiada malam yang aku lewati tanpa aku menyaksikan pendustaan manusia. 

Tanah: Pendustaan yang bagaimanakah maksudmu bulan?

Bulan: Aku masih ingat wahai tanah. Allah pencipta tubuhku pernah menawarkan diriku untuk menjadi khalifah atas muka bumi. Sungguh berat terasa olehku. Lalu aku menolak tawaran itu. Tidak berapa lama kemudian, aku dengar, makhluk yang bernama manusia menerima tawaran untuk menjadi khalifah. 

Tanah: Ya, aku tahu cerita itu. Aku sendiri pernah ditawarkan tanggungjawab yang sama. Ingat tak pada kisah sahabat kita sang gunung. Hampir-hampir sahaja dia menerima tanggungjawab itu. Kemudian dikhabar pula nasibnya yang akan hancur luluh sekiranya tanggungjawab itu didustai. 

Bulan: Aku lihat mereka yang bernama khalifah itu benar-benar seorang pendusta. Aku sendiri menyaksikan dari langit apa yang mereka perbuat saban malam. Maksiat, pembunuhan, penindasan golongan yang lemah, cinta dunia. Wahai tanah, andai aku sebut satu persatu, tentu sahaja engkau sendiri bosan dengan aku. Aku malu dengan Tuhanku tanah. Apakah yang akan aku persembahkan padaNya nanti bila aku ditanya sebagai saksi. Andai aku ini diberi pilihan, mahu sahaja aku memilih untuk menyorok. Biarlah aku ini tidak dikenali. Biarlah aku ini menjadi cerita-cerita mulut. Kerana tidak sanggup lagi aku untuk menjadi saksi perbuatan jijik manusia setiap kali malam menjelma wahai tanah.

Tanah: Andai itu sebab engkau menangis wahai bulan, ketahuilah bahawa akulah yang lebih menderita atas perbuatan manusia itu. Lihat sahajalah, mereka berzina atas tubuhku. Mereka membunuh bayi kecil, lalu ditanam dalam tubuhku. Mereka berjual-beli dengan cara yang hina atas tubuhku, mereka puasi cinta dunia mereka semuanya atas tubuhku wahai bulan. Bukankah aku yang lebih patut menangis berbanding engkau? Apakah yang harus aku jawab pada Tuhanku nanti?

Kedua-duanya menangis. Lebih sedu tangisnya. Lebih dalam ratapnya. Sedang manusia terus dan terus dengan dunia yang belum tentu dijamin esoknya. 



No comments:

Post a Comment