Tuesday, 24 July 2012

Hijrah Ramadhan

Masihkah kita ingat, suatu senggang waktu yang dimuliakan Allah dalam setahun? Ramadhan namanya. Saban tahun kita tempuhi waktu ini.

Sejak kita sekecil kanak-kanak, dengan baju yang labuh besar, dengan pensel warna masih di tangan, berebut mainan dengan adik-beradik yang lain, waktu itu juga kita lalui Ramadhan. 

Kemudian, kita tempuhi alam persekolahan. Ada yang bersekolah di asrama. Ada yang tidak. Masing-masing punya pengalaman yang tersendiri. Masing-masing mencorak siapa kita hari ini. Ketika itu juga kita lalui Ramadhan.

Tahun berganti tahun. Dari kanak-kanak kita menjadi remaja. Kemudian melangkah alam dewasa. Menanti dihadapan ialah hari tua. Itupun sekiranya ajal belum mahu berjumpa. 

Apa makna Ramadhan sewaktu kita kanak-kanak? Mungkin sebagai countdown sebelum tiba hari raya. Mungkin itu waktu bermain bunga api atau mercun menunggu malam raya.

Sepanjang usia remaja, apakah Ramadhan itu bagi kita? Adakah suatu bulan dimana makanan yang dihidangkan di dewan makan sedap-sedap? Bazaar Ramadhan? Atau tempoh mencari baju raya? Ataupun mungkin itu waktu kita bersemangat menulis kad raya untuk kawan-kawan? Err ada lagi ke?

Ramadhan akan terus hadir. Setiap tahun. Selagi dunia masih belum sampai ke penghujungnya. Dan kita akan terus merasai Ramadhan itu selagi kita hidup didalamnya. Tetapi, apakah makna Ramadhan itu?

Seringkali kita dengar pahala dan ganjaran yang tidak putus-putus dan istimewa hanya dalam bulan ini. Seperti ayat al-Quran yang terbit dari lidah-lidah kita melalui janji Rasulullah:

"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah(Al-Quran), maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu akan digandakan menjadi sepuluh yang seumpamanya. Tidaklah aku mengatakan mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf , tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf"
(Riwayat At-Tarmizi )


Selanjutnya, puasa yang diwajibkan dalam bulan Ramadhan itu bukanlah sebagai beban, malah sebagai medan untuk top-up amal-amal yang kita lakukan sebelas bulan sebelumnya. Begitulah Allah hadiahi hamba-hambanya dengan penuh kasih dan cinta melalui firmannya didalam Hadis Qudsi: 

"Tiap-tiap perbuatan baik, pahalanya sepuluh kali hingga tujuh ratus kali ganda selain daripada puasa. Maka puasa itu adalah bagi-Ku dan Aku yang membalasinya"
(riwayat Al-Bukhari dan Muslim oleh Abu Hurairah)


Dan banyak lagi pahala dan ganjaran Allah berikan buat hamba-hambanya yang mencari. Kerana itulah, didalam bulan ini, ramai daripada kita berlumba-lumba memperbanyakkan amalan. Masing-masing berusaha dengan upaya yang ada. Dan, boleh saya teka, anda yang sedang baca artikel ini pun, berlumba-lumba juga kan? 

“Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat syaitan-syaitan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ya, istimewanya bulan ini, ibadat kita tidak lagi diganggu oleh syaitonirrojim. Beruntunglah orang-orang yang mengambil peluang ini. 

Dengan ganjaran yang tidak terbayang oleh akal kita tu, dan ditambah dengan ketiadaan musuh yang utama, mengapa tidak kita ambil peluang untuk mencari jalan berhijrah? 

Jahiliyah yang membelenggu kita paling rapuh dalam bulan ini. Dan ia akan menjadi kuat semula sesudah tamatnya Ramadhan. Manfaatkanlah masa yang tinggal ini. Sayonara Jahiliyah.



Ya, inilah masanya.

Pak Ngah Man
Saya seorang hamba Ar-Rahman sepenuh masa. Sebahagian kecil masa , saya gunakan untuk belajar engineering.

No comments:

Post a Comment