"Is, takkan Is tak boleh nak bagi sedikit pun peluang kat Jah? Is tak kesian kat Jah ke? Apa kurangnya Jah?" Jah bersuara memecah keheningan petang itu.
"Tak mungkin Jah. Is tak sanggup. Kita memang jauh berbeza. Is nak ke utara, Jah nak ke selatan. Is pilih A tapi Jah pilih Z. Tak mungkin kita boleh bersama Jah. Haluan kita tak sama!" Is teguh berpegang pada pendiriannya.
"Tak paham la Jah dengan Is ni. Orang berlumba-lumba nak dekat Jah tapi Is pula nak lari dari Jah. Apa tak cukup moden ke Jah ni? Tak cukup up-to-date ke?" Jah tak berputus asa cuba mempengaruhi Is.
"Is minta maaf. Jah dah terlalu jauh dari syariat yang Allah tetapkan.Memang kita takkan boleh bersatu!" Is nekad. Memang mustahil untuk mereka bersama. Dan petang itu menjadi saksi, perpisahan antara Islam dan Jahiliyah.
Kisah di atas adalah realiti kita semua. Saya yakin setiap dari kita pasti mempunyai kisah masing-masing. Biarpun jalan ceritanya berbeda,tetapi latarnya insyaAllah masih sama. Ya latarnya sama buat mereka-mereka yang mahu kembali kepada Allah, buat mereka yang berusaha keras untuk memperbetulkan jalan kehidupan berlandaskan syariat Allah, buat mereka yang saban hari berperang dengan perasaan untuk membanteras jahiliyah dan menanam Islam di dada.
Islam dan jahiliyah itu ibarat air teh dan air kopi. Yang tidak mungkin enak bila dicampur dan diminum bersama. Rasanya pasti pelik, malah mungkin mampu membuatkan kita termuntah! Air teh yang coklat jernih warnanya pasti rosak dan kelam dek campuran air kopi. Hitam tidak dapat dibeza mana kopi mana tehnya.
Begitu jualah dengan Islam dan Jahiliyah. Kalau dicampur-adukkan kehidupan Islam dan Jahiliyah,pasti rosak akidah! Gelap hidup tak keruan tiada arah!
Namun begitu, menghilangkan racun-racun jahiliyah dari diri bukanlah bermaksud tidak bergaul langsung dengan mereka yang masih terbelenggu dalam arus jahiliyah. Lupakah kita pada aslih nafsak wad’u ghairak?Baikilah dirimu sahabat tetapi jangan lupa juga menyeru orang lain.
Bak kata Syed Qutb : yakhtalithun walakin ya tamayyazun- bergaul tetapi tidak bercampur. Bergaullah dengan mereka. Selami perasaan mereka yang masih terseksa jiwanya dek kerana bisa jahiliyah.Kerana kalau bukan kita yang sudah sedar betapa bahayanya jahiliyah berusaha untuk menarik mereka yang masih tenggelam dalam keseronokan dunia,siapa lagi?
Akhir kata, jadikanlah dirimu seperti serbuk teh atau serbuk kopi yang menghasilkan warna pada air kosong tetapi akhirnya mendap juga dibawah! Bergaul tetapi tidak bercampur! Allahu a’lam
credit: annesophillea
No comments:
Post a Comment