“Syahadah Al-Haq” bukan sekadar mengimani kewujudan Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat. Malah tanggungjawab syahadah ini juga tidak cukup setakat mendirikan sembahyang, puasa, zakat dan haji. Syahadah ini hanya terlaksana apabila orang-orang yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa manusia dalam bentuk amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil. Dengan kata lain mereka perlu menjelaskan ke seluruh alam, kebenaran yang bakal memimpin mereka menggunakan jalan yang lurus, cara yang betul dan amalan yang berkekalan.
Kitab suci yang mulia telah mengingatkan kita bahawa Allah Taala yang memiliki nama-nama yang suci telah meletakkan kita sebagai satu ummah perantara. Malah Allah memilih kita bukan umat-umat yang lain supaya kita melaksanakan segala hak syahadah ini. Hak syahadah ini perlu dilaksanakan dengan cara kita menyampaikan kalimah hak ini ke seluruh bangsa manusia, melalui amalan soleh yang kita lakukan, melalui akhlak terpuji yang kita miliki serta melalui pemerintahan kita yang adil dan betul supaya pada hari di mana segala saksi bangkit menyatakan penyaksian mereka, semua manusia tunduk di bawah hujah Allah dan mereka tidak dapat menafikan bahawa dakwah para nabi dan kalimah hak ini telah sampai ke gegendang telinga mereka. Allah Taala berfirman:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Al-Baqarah: 143)
Kita sendiri pun tahu apakah hukuman Allah buat mereka yang menyembunyikan syahadah ini ketika di dunia. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita daripada akibat buruk yang bakal mereka terima di akhirat kelak.
Allah Taala sendiri berfirman:
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَتَمَ شَهَادَةً عِنْدَهُ مِنْ اللَّهِ
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? (Al-Baqarah: 140)
Tujuan Allah mengutuskan para rasul ini adalah untuk mengajar bangsa manusia cara hidup sebenar yang diredai oleh Allah dalam mengharungi hidup di dunia ini. Para rasul ini memimpin manusia supaya mereka melalui jalan yang akan membawa mereka memperolehi keradaan Allah dan anugerahnya yang agung. Para rasul ini menjelaskan kepada manusia segala selok-belok hidup ini yang akan membawa mereka lebih dekat kepada Allah dan kepada rahmatNya serta menikmati segala limpah kurniaNya. Agar mereka mengingatkan manusia tentang amalan-amalan yang perlu mereka hindar dan akan menyebabkan mereka dihukum oleh Allah di akhirat kelak. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah di dalam KitabNya:
رُسُلًا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِأَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا
Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Nisa’: 165)
Kita dapat lihat sendiri betapa para nabi amat merasai betapa beratnya amanah ini. Oleh itu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tanggungjawab syahadah ini dan menyampaikan risalah mereka. Mereka habiskan segala tenaga mereka untuk melakukan sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh manusia biasa. Akhirnya mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dan memastikan hujah Allah mengatasi hujah manusia tanpa memberi ruang kepada manusia zalim dan takbur yang enggan menerima dakwah dan menentang ayat-ayat Allah serta hari akhirat, untuk mereka memberi alasan di hadapan Allah yang Maha Kuasa di hari akhirat kelak di hari di mana Allah katakan kepada mereka:
هَذَا يَوْمُ الْفَصْلِ الَّذِي كُنتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ
Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya.
(Al-Saffaat: 21)
Sumber ayat-ayat rujukan: 2:143, 4:41, 16:89, 22:78
No comments:
Post a Comment