Thursday, 12 July 2012

Tanggungjawab Merubah Perspektif dan Personaliti

Assalamualaikum wbt.

Zaman Rasulullah SAW merupakan zaman terhebat yang pernah dicatatkan dalam sejarah kehidupan dunia, dimana pada zaman itu tarbiyah rasulullah telah membina sahabat-sahabat yang osem dan hebat-hebat belaka. Apa yang ada pada sahabat-sahabat bagindalah yang telah membuat mereka semua menjadi umat yang dikagumi, justeru berjaya menjulang islam dimata dunia, hingga akhirnya luaslah jajahan taklum islam hingga sultan pada masa itu berkata, "Sedang aku duduk-duduk di jendela dan melihat awan, aku berkata, wahai awan, jikalau engkau beredar dan kembali semula kepadaku, nescaya hasil engkau akan kembali semula kepadaku". Ayat yang dinyatakan ini menggambarkan bahawa kerajaan islam pada masa itu telah pun tersebar dengan tersangat luasnya, dan akhirnya hasil zakatnya akan kembali kepada pemerintahan khalifah daripada pelbagai kawasan.

Setelah kita merasakan kehebatan para sahabat serta tarbiyah oleh Rasulullah SAW, wajarlah untuk kita mengenali serba sedikit ciri-ciri yang ada pada sahabat. Pertamanya, sudah pastilah sahabat-sahabat mempunyai fikrah serta pemahaman islam yang jelas, kerana pada saat mereka memeluk islam, kefahaman mereka terhadap kalimah syahadatain itu sangatlah mendalam. Mereka sedia meninggalkan segala amalan jahiliyyah yang telah diamalkan sejak turun-temurun kerana fahamnya kepada tanggungjawab dan tugas yang lebih utama iaitu ketaatan, tauhid dan akidah yang salim hanya kepada Allah. Tanggungjawab yang difahami ini menyebabkan mereka dapat melaksanakan tugas ibadah dan khalifah, iaitu pembentukan akidah hanya yakin kepada Allah, serta memahami tugas penyebaran dakwah itu perlu berlaku pada masa yang sama. Hebat benar para sahabat pada masa itu kerana walau dalam keadaan yang getir dan payah, mereka memahami tugas itu dan dakwah islam tetap berlaku walaupun penindasan yang hebat berlaku.

Seterusnya, pemahaman terhadap tanggungjawab oleh para sahabat turut merubah personaliti seseorang. Lihat saja khalifah Abu Bakar saat baginda ditugaskan menjadi khalifah pertama setelah kewafatan Rasulullah SAW. Dahulunya baginda seorang yang pendiam dan lemah lembut, namun setelah dilantik menjadi khalifah, atas sebab kefahamannya dengan tanggungjawab itu, lantas personalitinya berubah serta merta. Baginda menjadi seorang yang sangat tegas, hatta dalam satu kisah untuk memerangi kaum yang murtad serta nabi palsu dan tidak mahu membayar zakat, khalifah Abu Bakar memerintahkan keutamaan ketika itu ialah memerangi golongan-golongan ingkar ketika itu, walaupun pendapat khalifah Umar adalah lebih lemah lembut. Jelaslah bahawa kepentingan dalam memikul satu tanggungjawab itu adalah sepatutnya berdasarkan kefahaman dan bukannya semangat semata-mata. Seseorang yang boleh melaksanakan tanggungjawab atas sebab kefahaman adalah lebih baik daripada seseorang yang nampak boleh melaksanakan tugas tapi bukan atas sebab kefahaman. Justeru, setelah kita memahami tugas serta tanggungjawab kita kepada Allah, wajarlah kita untuk bekerja dalam perjuangan islam ini dengan hebat lagi, insyaAllah.


No comments:

Post a Comment