Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada Rasulullah, keluarga dan sahabat-sahabatnya dan pengikut yang benar sehingga hari kiamat.
Islam adalah agama terakhir, dan risalah Allah yang terakhir kepada dunia, dan manhaj Allah kepada umat Islam. Melalui Islam Allah telah menghimpunkan umat yang bercerai-berai, menyatu-padukan barisan, dan memperbaharui semangat para pemuda, dan menghidupkan jiwa yang mati.
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna.” (Al-Anfal: 24).
Rasulullah adalah penutup sekalian Nabi dan Rasul, rahmat petunjuk, nikmat yang diberikan dan lampu yang menerangi:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (al-Anbiya: 107).
Rahmat ini begitu jelas dalam bentuk yang paling besar sehingga dalam keadaan kemenangan yang dicapai oleh Nabi dalam bulan yang agung ini.
Kemenangan di bulan Ramadan
Ramadan adalah bulan kesabaran, menguatkan kemahuan dan melengkapkan pembinaan keperibadian Islam dalam kedua-dua aspek rohani dan fizikal, di samping mencapai ketakwaan dan muraqabah yang berterusan kepada Allah SWT. Semua ini memberikan kekuatan kepada seorang Islam untuk menjadikannya berdiri di hadapan musuh dengan tabah hati, kuat semangat, saling menyabarkan orang lain dan menjadikannya sabar sehingga Allah benar-benar memberikan kemenangan.
Di bulan Ramadan, melalui puasa, qiam, pembacaan al-Quran dan iktikaf mendekatkan umat Islam kepada Tuhan mereka, memberikan mereka kekuatan, mengingatkan mereka tentang kemenangan di Badar dan penaklukan kota Mekah yang agung. Musuh-musuh Allah begitu takut untuk menghadapi orang Islam pada bulan Ramadan; kerana mereka percaya bahawa bulan Ramadan mermbekalkan orang Islam dengan suatu kekuatan yang tidak mereka perolehi pada bulan-bulan yang lain.
Pada bulan yang diberkati ini umat Islam telah mencapai beberapa kemenangan besar, di antaranya:
- Badar al-Kubra: di mana Allah telah menegakkan yang benar dan menghapuskan yang batil (salah) dan memenangi untuk hamba-hambaNya yang beriman dan meninggikan kedudukan mereka:
“Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (ugama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya; Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya. ( Anfal: 7-8)
- Penaklukan kota Mekah: Di bulan Ramadan berlaku penaklukan Mekah di mana Allah telah memuliakan Islam, menolongnya dan meninggikan panjinya. Kini kota Mekah telah menjadi Tanah Suci dan Kaabah yang mulia menjadi kiblat umat Islam sehingga hari kiamat.
- Penaklukan Andalus: Permulaan penaklukan Andalusia ialah pada bulan Ramadan Hijrah 92 Hijrah oleh Tariq bin Ziyad seorang hamba yang dimerdekakan daripada Musa bin Nusair.
- Ain Jalut: Berlaku pada sepuluh terakhir bulan Ramadan dalam tahun 658 Hijrah. Ini merupakan kemenangan yang bermakna ke atas tentera Tartar setelah jenayah dan kekejaman yang mereka lakukan seperti membunuh dan merampas negara dan rakyatnya.
- Hari Kesepuluh Ramadan: Dalam sejarah kontemporari kita berlaku kemenangan pada hari kesepuluh dalam bulan Ramadan 1393 Hijrah. Pada hari yang bersejarah dan unggul yang mengembalikan Mesir dan rantau Arab dan Islam kepada kemuliaan dan harga diri.
Dalam semua peperangan ini umat Islam adalah komited dengan akhlak Islam selepas cepat membunuh, perlindungan kepada wanita dan kanak-kanak, memelihara keluarga dan tidak membunuh tawanan walaupun musuh mereka tidak komited kepada nilai-nilai dan prinsip ini.
Faktor kemenangan
Melalui peperangan, kita boleh mengambil pengajaran dari beberapa faktor yang paling penting dalam kemenangan dan diringkaskan seperti berikut:
1 - Membina iman yang benar:
Ini dapat dilihat dalam ketaatan kepada Allah dan RasulNya, keteguhan hati, berzikir dan kesabaran. Allah berkata dalam mengulas mengenai peperangan Badar:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Anfal : 45-46).
2 - Kekuatan jiwa dan ruhani sebelum kekuatan fizikal:
Ramai orang berfikir bahawa umat Islam tidak mempunyai kekuatan fizikal seperti harta dan peralatan; untuk bangkit dan bersaing dengan negara-negara yang menyebabkan kemundurannya dan mengurangi hak-hak rakyat. Itu memang betul dan penting, tetapi yang lebih penting dan lebih wajib darinya ialah kekuatan ruhani seperti iman yang benar, akhlak yang mulia, jiwa yang suci, semangat yang membara, dan pengorbanan pada jalan yang wajib dan kesetiaan yang terbina di atas kepercayaan dan perpaduan, dan dari keduanya berlaku kekuatan.
Seandainya sesuatu bangsa mempercayai hak mereka, mengubah dirinya sendiri, dan berpegang kepada kekuatan ruhani, dan mengindahkan akhlak mereka, sudah pasti akan dating jalan-jalan kekuatan fizikal dari semua arah. Lembaran sejarah telah membuktikan kebenarnya.
Iman membentuk semula psikologi dan kejiwaan seseorang insan, dan mengubah apa yang ada di dalam diri, dan menjadikannya makhluk yang berbeza dan menghadapi kesukaran dengan keazaman yang kuat dan semangat yang tidak akan pudar. Malah, akan mengatasi dorongan hawa nafsu, keinginan diri dan nafsu syahwatnya. Ramadan yang mulia memberikan impak yang besar dalam hal ini, sebagaimana Ramadan adalah bulan kesabaran, dan melalui kesabaran dan menuruh bersabar menjadi sebab kepada kemenangan ke atas musuh-musuh mereka:
“Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.” (Al-Imran: 120).
Juga, kekuatan rohani ini adalah asas yang kukuh untuk membina tamadun dan mencapai kebangkitan mana-mana bangsa. Oleh sebab itu, Imam al-Banna rahimahullah menyatakan: Pembentukan dan pembinaan sebuah bangsa, merealisasikan sebuah impian atau sekurang-kurangnya sekumpulan manusia yang mahu mencapai cita-cita ini memiliki jiwa yang benar-benar kental yang dapat dilihat melalui beberapa aspek iaitu: Kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat oleh kelemahan. Kesetiaan sejati yang tidak mengenal erti kompromi dan pengkhianatan. Pengorbanan agung yang tidak mengenal erti tamak dan kedekut. Memahami prinsip, menyakininya, menghormatinya, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip lain.
Dengan hanya memiliki ke semua asas yang berbentuk rohani ini dan dengan memiliki kekuatan rohani yang agung akan tertegak sebuah prinsip dan akan mampu membentuk sebuah bangsa yang mampu bangkit, membentuk jiwa bangsa yang bersemangat waja dan akan bermula kembali suatu kehidupan bagi mereka yang telah sekian lama tidak. Ini adalah undang-undang dan sunnah yang telah Allah tetapkan untuk ala mini dan tiada apa yang dapat mengubah sunnah:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11).
3 - Perpaduan dan keharmonian:
Jelasnya, dalam menghadapi musuh-musuh negara memerlukan kita bersatu dalam menghadapi kuasa-kuasa yang mahu mengheret kita kembali dan membawa kita kembali kepada keadaan pra-revolusi. Kuasa-kuasa ini berusaha sedaya upaya di dalam dan di luar negara sehingga kita tidak menikmati kebaikan dari kemenangan besar ini yang merakamkan sejarah negara kita sekali lagi. Islam menggalakkan kerjasama dan saling bantu-membantu. Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Al-Maidah: 2)
Sungguh menghairankan dalam laungan ini masih terdapat orang Islam yang hanya berdiri di hadapan projek-projek Islam sehingga tidak dapat menikmati hak untuk hidup dan memainkan peranannya dalam membina Mesir.
Begitu juga, kita merasa hairan masih terdapat orang yang berusaha untuk memecah-belahkan bangsa, menyalakan api pertikaian dan konflik, dan meniupkan api yang merobek perpaduan rakyat dengan cara mengeksploitasi beberapa kesilapan, perbezaan pendapat dan pertikaian padahal perkara yang dipersetujui dan disepakati oleh semua pihak terlalu banyak.
Jika kita mahu menang dan mempertahankan negara kita, jalan kita ialah mengekalkan etika revolusi yang mulia yang sentiasa mengawal kita, dan tiangnya adalah perpaduan dan kesatuan antara rakyat di dalam tanah air semuanya, sama ada orang Islam dan Kristian, lelaki dan wanita, muda dan tua.
Perpaduan dan kesatuan ini menjadikan matlamat utama ialah kebangkitan dan pembangunan negara kita dan kestabilannya, kebebasan yang sebenar, tercapai keadilan di kalangan rakyat dan kesaksamaan di kalangan warganya tanpa perbezaan oleh warna, agama atau kelas. Menjadi matlamat semua memelihara prinsip, menyokong yang betul, meletakkan asas-asas demokrasi dengan erti yang sebenar, dan neraca adalah keadilan. Manakala demokrasi yang memiliki dua kriteria atau ‘double standard’, maka ia tidak bertepatan dengan revolusi besar ini yang dibangunkan oleh rakyat dan dikorbankan demi mencapainya.
4 - Berhati-hati dari sebab-sebab kekalahan:
Bagi mencapai perkara di atas, kita mesti berhati-hati daripada punca kelemahan dan kegagalan, antaranya:
- Konflik dan Perselisihan pendapat: Al- Quran dengan jelas menyatakan (bermaksud):
“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Anfal: 46)
Allah SWT juga memberi amaran daripada perpecahan (bermaksud):
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Al-Imran: 103)
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” (Al-Imran: 105).
- Berlumba-lumba mendapatkan habuan dunia:
Semasa di Badar, selepas terdapat tanda-tanda kemenangan dan memperolehi harta rampasan, bermula pertikaian siapa lebih berhak mendapat harta rampasan dan semua kumpulan masing-masing menuntut hak mereka. Lalu turun amaran ini (bermaksud):
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu.” (Anfal: 1)
Nabi saw bersabda (bermaksud):
“Bukan kemiskinan yang ku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana umat dahulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dahulu kala juga telah dihancurkan oleh sifat sedemikian.” (Hadis Bukhari-Kitab al-Jizyah no 2924)
- Kelemahan jiwa: Lemah semangat dan berputus asa telah menyelinap ke dalam hati adalah satu kekalahan bagi manusia dari dalam diikuti dengan kekalahan dari musuh, hilang semangat dan mengalahkan yang diikuti oleh mengalah dan menyerah di hadapan lawan. Rasulullah pernah berpesan:
“Hampir tiba masanya kalian diperebutkan seperti sekumpulan pemangsa yang memperebutkan makanannya.” Maka seseorang bertanya: ”Apakah kerana sedikitnya jumlah kita?” ”Bahkan kalian ramai, namun kalian seperti buih yang terapung. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahan.” Seseorang bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi saw bersabda: ”Cintakan dunia dan takutkan kematian.” (HR Abu Dawud 3745)
Adakah anda tidak melihat dengan jelas bahawa bahawa sebab kelemahan umat, kehinaan bangsa, lemah jiwa, hati lemah, dan hatinya kosong dari akhlak yang mulia dan sifat-sifat kelelakian yang sebenar, walaupun bilangannya ramai, sumber dan hasil meningkat. Umat jika tenggelam dalam keseronokan, hanyut dengan kemewahan dan tenggelam dalam matlamat-matlmat kebendaan, tertarik dengan keindahan hidup dunia, dan melupakan jalan yang sukar, perjuangan yang berat dan berjuang pada jalan yang benar, maka katakanlah: Kemuliaan dan harapan yang hilang.
- Kagum dengan orang Islam yang ramai:
Orang Islam yang percaya kepada kebenaran dan mempertahankannya dengan apa jua yang dimiliki, tidak akan menyebabkannya meninggalkan perjuangan ini meskipun hanya jumlah yang sedikit atau kekurangan kelengkapan, bahkan kekal patuh kepada kebenaran dan mempertahankannya sehingga Allah memenangkan agamaNya atau mati tanpa mencapainya. Hari ini orang Islam mempunyai bilangan yang ramai atau kelengkapan yang cukup, namun ia telah masuk ke dalam kagum pada diri sendiri dan tertipu dengan kekuatan. Inilah yang membawa kepada kekalahan:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (At-Taubah: 25)
Wahai umat Islam. Wahai Ikhwan Muslimin
Rebutlah bulan yang diberkati ini bagi mengukuhkan ikatan iman, dan memperdalam akarnya melalui puasa, tilawah Al-Quran, zikir dan istighfar.
Berilah perhatian tentang ikatan persaudaraan anda kerana ianya adalah rahsia kekuatan anda, tonggak kejayaan anda, sendi keamanan melalui kesatuan dan perpaduan di antara anda.Yakinilah fikrah anda dan percaya, berkumpul di sekelilingnya, dan lakukanlah untuknya, dan teguh bersamanya.
Berlumba-lumbalah dalam melakukan amal soleh di hari yang masih tinggal dari bulan yang mulia ini, supaya anda beroleh kejayaan.
Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabatnya. Allah Yang Maha Besar dan segala puji hanya bagi Allah.
sumber: http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=89691
No comments:
Post a Comment